Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengingatkan kepada semua atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu agar berhati-hati mengambil makanan tambahan bagi mengelak dihimpit kontroversi positif ujian doping.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jika atlet didapati positif ujian itu, ia bukan sahaja merugikan atlet itu sendiri, malah kontinjen negeri.

"Saya tegaskan sekali lagi kepada semua atlet Sukma negeri agar mereka perlu berhati-hati mengambil sebarang makanan tambahan bagi mengelak terperangkap dalam isu doping.

"Perkara ini pernah terjadi apabila ada atlet mengambil makanan tambahan selepas disyorkan mereka yang kurang arif mengenai pemakanan kesihatan.

"Akibatnya atlet itu positif ujian doping, jika situasi sama berulang, ia bukan sahaja merugikan atlet dan masa depan mereka, malah boleh menjejaskan kontinjen.

"Oleh itu atlet yang mahu mengambil sebarang makanan tambahan saya sarankan perlu merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar dan bertauliah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang 60 Hari Kejohanan di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, malam tadi.

Ia dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil.

Turut berlangsung, Majlis Pentauliahan Timbalan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu dan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat serta Jabatan Angkat Sukan Sukma yang bakal membuka tirainya pada 16 hingga 24 September depan.

Mengulas mengenai sasaran pada kejohanan itu, Wan Sukairi berkata, kontinjen Terengganu berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan.

"Kita masih berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan pentas Sukma berdasarkan prestasi semasa atlet.

"Kita akan menyertai 28 daripada 31 jenis sukan dengan pembabitan 800 atlet termasuk pegawai dengan sasaran 70 pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 2:35 PM
Tengku Farouk Hussin (dua kiri) ketika merasmikan Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang 60 hari Sukma XX di Kompleks Pentadbiran Bandar Al - Wathiqubullah, Kuala Nerus. FOTO GHAZALI KORI
Tengku Farouk Hussin (dua kiri) ketika merasmikan Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang 60 hari Sukma XX di Kompleks Pentadbiran Bandar Al - Wathiqubullah, Kuala Nerus. FOTO GHAZALI KORI