AZIZULHASNI bersama Sultan Mizan. Foto Instagram azizulhasniawang
AZIZULHASNI bersama Sultan Mizan. Foto Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ikon sukan negara Datuk Azizulhasni Awang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti sebelum pulang menemui keluarganya di Melbourne, Australia.

Terbaharu pemenang pingat perak acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dipanggil mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah di Istana Hinggap Terengganu di Kuala Lumpur.

"Menjunjung kasih KDYMM Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Terengganu Tuanku Sultanah Nur Zahirah di atas perkenan mencemar duli menjemput patik untuk mengadap Tuanku.

"Menjunjung kasih juga kepada Yang di-Pertuan Muda Terengganu YTM Tengku Muhammad Ismail, YTM Tengku Nadhirah Zaharah, YTM Tengku Muhammad Muaz dan YTM Fatimatuz Zahra kerana turut perkenan untuk bersama-sama semalam," tulisnya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

"Patik amatlah teruja dan terharu dapat bertemu dengan Tuanku, Tuanku Sultanah serta anakanda Tuanku di Istana Hinggap Terengganu. Patik menjunjung kasih kerana Tuanku berbangga dengan pencapaian patik dan sudi mendengar perkongsian kisah kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

"Patik menjunjung kasih di atas doa serta kata-kata semangat dan juga hadiah peribadi yang dikurniakan oleh Tuanku, Tuanku Sultanah dan juga Yang di-Pertuan Muda. Semoga Allah memurahkan rezeki dan merahmati Tuanku dan seluruh kerajaan Tuanku. Sungguh patik amat berbangga menjadi anak Terengganu."

Selepas pulang dari kampung halamannya kira-kira dua minggu lalu, Azizul, 33, bertemu antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia turut menghadiri majlis penyampaian hadiah insentif Kerajaan Terengganu daripada Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menerima Ijazah Kehormat serta biasiswa Tuanku Canselor daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Anugerah Kecemerlangan Tokoh Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta ditawarkan biasiswa bitara pasca siswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah selain jawatan sebagai pensyarah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:27 PM