Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu melakar sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi negeri pertama di negara ini menganjurkan sukan patuh syariah iaitu Sukan Terengganu (Sutera).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran Sutera 2021 itu bukan sahaja bermatlamat untuk melahirkan atlet pelapis berwibawa yang mampu diketengahkan hingga ke peringkat Sukan Olimpik, tetapi juga menerapkan elemen sukan patuh syariah.

"Pelaksanaan Sutera ini adalah kejohanan sukan patuh syariah pertama di negara ini, pelaksanaan patuh syariah yang dilaksanakan dalam kejohanan ini bukan sahaja melibatkan aspek pemakaian, tetapi merangkumi pengurusan acara dan masa kejohanan, pengurusan pasukan, pergaulan dan integriti.

"Konsep sebegini yang kita mahu terapkan kepada atlet di negeri ini dengan mengambil contoh atlet negara Islam dunia yang bertanding dengan pakaian menutup aurat dalam pentas Sukan Olimpik dengan pencapaian mereka juga tidak kurang hebatnya.

"Ternyata pakaian menutup aurat tidak menghalang pencapaian cemerlang atlet dalam sukan yang disertai, jadi inilah kelainan yang kerajaan negeri mahu tampilkan dalam Sutera ini selain mewujudkan satu wadah pembangunan sukan menyeluruh sekali gus mampu melahirkan atlet bertaraf dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya Sutera 2021 di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Sutera edisi kedua yang sepatutnya berlangsung tahun lalu secara dwitahunan itu memilih Daerah Kuala Nerus sebagai tuan rumah bermula 24 hingga 28 Mei 2022 melibatkan 14 venue sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan penyertaan seramai 2244 atlet membabitkan lapan daerah.

Sebanyak 13 jenis sukan dipertandingkan membabitkan tujuh sukan wajib manakala selebihnya sukan pilihan yang melibatkan 84 acara dengan menawarkan 284 pingat keseluruhan.

Sutera yang melibatkan dua kategori iaitu terbuka dan bawah 20 tahun itu menyaksikan atlet ping pong daerah Kemaman, Muhammad Naufal Mazlan dan atlet tenpin bowling Dungun, Khairun Adni Aisyah Khairul Sallekh muncul peserta termuda dengan masing-masing berusia 12 tahun.

Pada edisi pertama 2019, Daerah Kuala Terengganu muncul johan keseluruhan dengan merangkul 36 pingat emas, 13 perak dan 21 gangsa manakala naib johan dimenangi Daerah Kuala Nerus dengan 19 emas, 19 perak dan 19 gangsa.

AHMAD Samsuri (dua kanan) bersama Wan Sukairi (kanan) menyampaikan plak perhargaan kepada kontinjen yang bertanding semasa merasmikan Sukan Terengganu (Sutera) 2021 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (dua kanan) bersama Wan Sukairi (kanan) menyampaikan plak perhargaan kepada kontinjen yang bertanding semasa merasmikan Sukan Terengganu (Sutera) 2021 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 9:35 PM