TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan anggota JPJ dirempuh penunggang motosikal yang melanggar SJR di Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan anggota JPJ dirempuh penunggang motosikal yang melanggar SJR di Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera dirempuh penunggang motosikal di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Port Dickson.

JPJ dalam kenyataan berkata, kejadian pada 11 pagi itu berlaku apabila penunggang Yamaha Y125ZR melanggar sekatan jalan raya (SJR) dan merempuh anggota berkenaan.

"Akibatnya anggota terbabit mengalami kecederaan di leher, kepala dan bengkak tangan serta kaki. Dia dirawat di Hospital Port Dickson dan dibenarkan pulang selepas rawatan.

"Siasatan Bahagian Penguat kuasa JPJ Negeri Sembilan mendapati penunggang motosikal berusia 25 tahun itu mempunyai dua (kesalahan) senarai hitam yang masih aktif.

"Antaranya ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18/07/2012 (di bawah) Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987; tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987; dan sita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987," menurut kenyataan JPJ, hari ini.

Susulan itu, laporan polis dibuat dan penunggang berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Sebagaimana sedia maklum, JPJ melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 bermula 1 hingga 30 September di seluruh negara dan objektifnya ke arah mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya.

"Justeru, JPJ ingin menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR," kata kenyataan.

JPJ juga menyeru orang awam untuk melaporkan aduan kesalahan lalu lintas secara terus menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected] berserta butiran lengkap aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 6:31 PM