FAKTOR sikap manusia menyumbang lebih 80 peratus punca nahas yang mengakibatkan kematian di jalan raya. FOTO Arkib NSTP
FAKTOR sikap manusia menyumbang lebih 80 peratus punca nahas yang mengakibatkan kematian di jalan raya. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Setiap hari, pasti ada berita kemalangan dilaporkan media yang bukan saja mendatangkan kecederaan parah, malah meragut nyawa.

Di sebalik kemalangan yang berlaku, dianggarkan 80 peratus daripada jumlah kes dilaporkan adalah berpunca akibat kecuaian manusia selain faktor lain seperti keadaan jalan raya.

Meskipun sudah banyak pendedahan diberikan kepada orang ramai mengenai isu kecuaian semasa memandu atau menunggang, namun masih ramai memandang enteng isu berkenaan.

Justeru itu, sebagai antara agensi yang menguatkuasakan peraturan jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan tugas mencabar mendepani sikap sambil lewa dan kecuaian pemandu mahupun penunggang.

Ikuti wawancara wartawan, NURUL HIDAYAH BAHAUDIN bersama Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ DATUK LOKMAN JAMAAN bagi mengupas isu berkenaan.

LOKMAN. FOTO Arkib NSTP
LOKMAN. FOTO Arkib NSTP

Boleh Datuk terangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya bagi tempoh 2022 hingga 2023 dan apakah faktor yang mendorong perkara itu?

Berdasarkan laporan kemalangan jalan raya diterbitkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), kadar kemalangan pada 2023 mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 6,443 kematian atau enam peratus berbanding 6,080 kematian pada 2022.

Ini bermakna terdapat purata 18 kematian sehari atau bersamaan dengan 80 minit bagi setiap satu kematian pada tahun lalu dengan purata harian 12 kematian membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (Miros) mendapati faktor sikap manusia menyumbang lebih 80 peratus punca nahas yang mengakibatkan kematian di jalan raya.

Sikap tidak mematuhi peraturan, tidak berhemah dan melakukan kesalahan berulang kali menjadi bukti punca kemalangan maut yang tinggi.

Oleh itu, pembabitan orang awam untuk menjadi mata dan telinga JPJ bagi menyalurkan aduan dan kesalahan lalu lintas akan dapat meningkatkan tahap pematuhan peraturan, sekali gus meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Adakah pihak JPJ menyediakan medium bagi orang awam untuk membuat aduan kesalahan lalu lintas dan apakah jenis kesalahan yang boleh diadukan?

JPJ ada menyediakan saluran bagi orang ramai membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas seperti gagal mematuhi lampu isyarat merah, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

Kesalahan lain yang boleh diadukan kepada pihak JPJ adalah tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong sebelah kiri, memotong barisan, cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

Orang ramai boleh menghantar aduan menerusi e-mel di [email protected], aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ dan laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://jpj.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

Bagi aduan di aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ, orang awam hanya perlu melengkapkan maklumat diperlukan sebagai bukti kesalahan seperti dalam bentuk video atau gambar dengan maklumat aduan mereka dirahsiakan.

Setakat ini, berapa jumpah aduan diterima pihak JPJ menerusi aplikasi itu?

Pada tahun lalu, 54,092 aduan diterima menerusi aplikasi itu dengan kesalahan memotong barisan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 20,002 aduan atau 37.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Sementara itu, kesalahan memandu di lorong kecemasan merekodkan 7,648 aduan, gagal mematuhi lampu isyarat merah (7,538), nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi (5,314) dan memotong sebelah kiri (4,927).

Selain itu, 3,883 aduan diterima membabitkan kesalahan memotong garisan berkembar, guna telefon bimbit semasa memandu (1,767), tidak memakai tali pinggang atau topi keledar (1,632) dan cermin gelap (1,336).

Apakah tindakan diambil pihak JPJ atas aduan yang dikemukakan?

Pihak JPJ akan menyemak setiap aduan dikemukakan bagi memastikan bukti kesalahan adalah mencukupi.

Notis Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta 333 akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hari bekerja kepada pemilik kenderaan bagi kehadiran ke pejabat JPJ untuk prosedur siasatan.

Mana-mana pemilik yang gagal hadir dalam tempoh 14 hari daripada notis Seksyen 114 yang dikeluarkan, pemilik akan dikenakan tindakan saman.

Sekiranya gagal diselesaikan dalam tempoh ditetapkan termasuk gagal hadir ke mahkamah, pemilik akan disenarai hitam selain boleh dikenakan mata demerit.

Apakah saranan Datuk kepada pengguna jalan raya bagi mengatasi masalah ini?

JPJ memohon kerjasama orang awam supaya mengambil langkah mematuhi peraturan jalan raya serta bertoleransi dengan pengguna jalan raya lain demi keutamaan keselamatan diri dan keluarga.

Orang awam diminta melaporkan aduan secara terus atau pada masa sebenar dengan menggunakan aplikasi MyJPJ:e-Aduan@JPJ atau e-mel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan khususnya membabitkan sembilan kesalahan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 7:30 AM