GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Sebanyak 4,213 pelbagai jenis kenderaan diperiksa menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di sekitar Selangor semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam kenyataan berkata, operasi bermula 8 pagi sehingga 11.59 malam itu diketuai Ketua Seksyen Operasi JPJ Selangor, Muzlefa Kamarudin.

"Sebanyak 4,213 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan 564 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 1,518 notis saman dikeluarkan secara keseluruhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya hari ini.

Menurut JPJ Selangor, antara kesalahan yang kerap dilakukan termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada atau cukai jalan (LKM) tamat tempoh, tiada insuran, kesalahan teknikal dan sembilan kesalahan utama.

Katanya, sebanyak 63 notis penahanan kenderaan dikeluarkan mengikut Seksyen 64(1) sepanjang operasi berlangsung berkenaan.

"JPJ Negeri Selangor akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan dan advokasi kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 5:28 PM