Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan) dan Datuk Bung Moktar Radin.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan) dan Datuk Bung Moktar Radin.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua bekas Pengerusi Felcra Berhad iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Bung Moktar Radin, Isnin ini.

Prosiding itu berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Tajuddin dan Bung Moktar perlu memberikan penjelasan dan keterangan berhubung isu Felcra yang dilaporkan dalam LKAN 2021 Siri 2: Pengurusan Syarikat Kerajaan

Persekutuan.

"Buat pengetahuan semua, PAC sudah menjalankan tiga prosiding berhubung Felcra Berhad iaitu pada 27 Jun, 6 Julai dan 23 Ogos lalu," katanya.

Pada 27 Jun, PAC memanggil ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan, KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra bagi menjawab isu kedudukan kewangan syarikat yang tidak dapat dirumuskan, susulan penyata kewangan beraudit 2019, 2020 dan 2021 belum dimuktamadkan.

Semakan audit Jabatan Audit mendapati Felcra mempunyai tunggakan hutang yang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada 2021, berbanding RM82 juta pada 2020.

LKAN 2021 Siri 2 juga menyatakan berdasarkan surat pengesahan baki dan tunggakan pinjaman Kerajaan Persekutuan bertarikh 10 Januari 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman Felcra dengan Kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2021 ialah RM3.67 bilion.

Baki pinjaman ini, 69 peratus daripada keseluruhan liabiliti Felcra yang berjumlah RM5.32 bilion dan berdasarkan maklum balas FELC, Kerajaan melalui keputusan Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022 yang meluluskan sebahagian baki pinjaman berjumlah RM969.27 juta ditukarkan kepada ekuiti dalam Felcra.

LKAN menjelaskan satu daripada enam indikator perspektif petunjuk prestasi utama (KPI) Felcra tidak mencapai sasaran pada 2021 iaitu indikator pengurangan dalam kos pentadbiran, disebabkan tambahan perbelanjaan bagi Program Tanggungjawab Sosial Korporat Rakyat berjumlah RM10 juta yang tidak dibajetkan pada awal tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 5:51 PM