Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Muhamad Lokman Khairi

Pasir Salak: Bekas Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan terbabit dalam isu kedudukan kewangan Felcra yang kini dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurutnya, perkara itu termasuklah tunggakan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang berlaku ketika beliau bukan lagi memegang jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Tajuddin berkata, beliau sudah menjelaskan hal terbabit ketika dipanggil memberikan keterangan kepada PAC pada 18 September lalu.

"Saya dipanggil kerana saya juga pernah jadi Pengerusi Felcra sebelum ini.

"Tapi Datuk Seri Bung Moktar Radin lebih banyak menjawab, itu saya tak mahu masuk campur, itu urusan dia," katanya yang ditemui ketika menyerahkan sumbangan 500 kampit beras putih tempatan (BPT) 10 kilogram (kg) kepada penduduk di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Salak Datin Sri Rahayu Tajuddin.

Tajuddin yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, dalam pertemuan dengan PAC itu, beliau diminta menjelaskan mengenai projek pembangunan tanah milik Felcra di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dimulakan pada 2018.

Tajuddin sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felcra Berhad pada 2008 hingga 2013, sebelum diambil-alih oleh Bung Moktar sehingga 1 Jun 2018.

Tajuddin mengakui idea projek pembangunan hartanah itu memang muncul ketika beliau masih menjawat sebagai Pengerusi Felcra, namun pelaksanaan termasuk pelantikan kontraktor berlaku ketika beliau sudah melepaskan jawatan terbabit.

"Pokoknya masa saya, saya tak terbabit soal untuk menjual, melantik kontraktor, bayar kontraktor, tak sempat pun.

"Kalau (PAC) panggil semula pun seronok juga, anytime (bila-bila masa)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan PAC memanggil dua bekas Pengerusi Felcra iaitu Tajuddin dan Bung Moktar pada 18 September lalu bagi prosiding berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) membabitkan GLC itu.

Pada 27 Jun lalu, PAC memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan, KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad bagi menjawab isu kedudukan kewangan agensi itu yang tidak dapat dirumuskan susulan penyata kewangan beraudit 2019, 2020 dan 2021 belum dimuktamadkan.

Semakan audit Jabatan Audit mendapati Felcra mempunyai tunggakan hutang yang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada 2021 berbanding RM82 juta pada 2020.

LKAN 2021 Siri 2, juga menyatakan berdasarkan surat pengesahan baki dan tunggakan pinjaman Kerajaan Persekutuan bertarikh 10 Januari 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia, baki pinjaman FELCRA dengan Kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2021 ialah RM3.67 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 2:39 PM