BUNG Moktar dan Zizie Izette, gambar fail. FOTO Bernama
BUNG Moktar dan Zizie Izette, gambar fail. FOTO Bernama
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan sudah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, melepas dan membebaskan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Sumber Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan perkara berkenaan.

"Betul, rayuan difailkan pada Jumaat lalu," katanya.

Pada 7 September lalu, Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, memutuskan untuk membebaskan pasangan berkenaan selepas membenarkan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada tahun lalu.

Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti yang menunjukkan dua saksi pendakwaan iaitu ejen Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid, memberi wang rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui Zizie Izette.

Azhar dalam keputusannya dilaporkan berkata, mahkamah membuat dapatan itu selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap rekod prosiding.

Sehubungan itu, ia adalah kes yang betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 2 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:54 PM