BUNG (tengah) dan Zizie Ezette hadir pada perbicaraan kes rasuah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BUNG (tengah) dan Zizie Ezette hadir pada perbicaraan kes rasuah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nor Azura Abdul Jalil


PERNIKAHAN antara Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya Datin Seri Zizie Ezette Abd Samad adalah sah mengikut hukum syarak.

Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Abd Nasir Abdullah, 42, berkata, pasangan itu bernikah pada 9 Jun 2010 dengan berwalikan abang Zizie Ezette iaitu Samzy Fuzette Abd Samad.

“Perkahwinan ini didaftarkan pada 29 April 2014.

“Saya sahkan surat perakuan nikah dikeluarkan oleh pihak Jawi apabila mendapat Perintah Penghakiman daripada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya ketika membaca penyataan saksinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry pada perbicaraan hari pertama kes Bung Moktar dan Zizie Ezette yang masing-masing didakwa atas pertuduhan rasuah dan bersubahat rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA).

Terdahulu, Bung Mokhtar dan Zizie Izette, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pindaan yang dihadapi mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berita berkaitan:

  • Bung Moktar, Zizie dibicara tahun depan
  • Mohon pindah kes Bung Moktar dan Zizie
  • Zizie Izette tak mengaku bersubahat
  • Bung Moktar didakwa [METROTV]
  • Bung Moktar dan Zizie Izette ditahan SPRM
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 12:58 PM