DATUK Mas Ermieyati
DATUK Mas Ermieyati
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa pihak termasuk Ketua Setiausaha (KSU) empat kementerian sepanjang bulan ini bagi menjelaskan isu dibangkitkan di bawah kementerian masing-masing.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu diambil selepas mendengar sesi taklimat Jabatan Audit Negara berhubung Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2, semalam.

"PAC membuat keputusan untuk memanggil tiga tajuk sebagai prosiding PAC iaitu isu Terimaan dan Bayaran di bawah Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara.

"Ia membabitkan kerugian wang awam sebanyak RM37 juta disebabkan dana obligasi tahun 2021 belum diterima, pembayaran tidak teratur sebanyak RM0.73 juta iaitu bayaran Skim Subsidi Harga Padi kepada pesawah meninggal dunia, pembekal jentera tidak menepati jadual yang menyebabkan kerugian RM 3.12 juta serta pembaziran RM0.87 juta bagi jentera belum digunakan dan sudah rosak.

"Justeru, PAC akan memanggil KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 14 Jun ini bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, PAC juga akan memanggil KSU Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi 15 Jun ini bagi meneliti mengenai isu pengurusan Covid-19.

"Sebanyak 1.1 juta dos vaksin luput tempoh jangka hayat setakat 30 April 2022 serta 93 unit ventilator tidak dapat digunakan daripada 136 unit ventilator yang diperoleh.

"Selain itu, nisbah penggunaan boot cover dan protective suit atau coverall berbanding baki stok adalah sebanyak 2.2 peratus dan 3.1 peratus dengan baki masing-masing sebanyak 3.08 juta dan 0.84 juta pasang," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan memanggil KSU Perbendaharaan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad pada 27 Jun ini.

"FELCRA Berhad yang mana kedudukan kewangan tidak dapat dirumuskan susulan Penyata Kewangan Beraudit tahun 2019, 2020 dan 2021 belum dimuktamadkan," katanya.

Selain itu menurutnya, PAC juga akan mendapatkan taklimat berkenaan Program Jana Wibawa daripada Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 4:32 PM