BUNG Moktar Radin (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama.
BUNG Moktar Radin (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat keterangan mencukupi untuk mendakwa Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas kesalahan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Haris Ibrahim, 42, berkata beliau mengesyorkan kepada pihak pendakwaan untuk mendakwa Bung Moktar dan isteri berdasarkan dokumen yang diperoleh serta keterangan saksi-saksi (yang dirakam percakapan oleh SPRM).

"Jumlah wang yang disyorkan bagi pertuduhan terhadap Datuk Seri Bung Moktar dan Datin Seri Zizie Izette adalah RM2.8 juta," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan isteri berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Penguasa Kanan SPRM itu berkata, berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan, beliau telah mencadangkan kepada pihak pendakwaan supaya Bung Moktar mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala Zizie Izette atas pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 28(1) (c) akta sama.

Disoal sama ada isu wang RM2.8 juta pernah ditimbulkan sebagai 'introduction fee' (wang pengenalan) kepada Zizie Izette sebelum pertuduhan terhadap pasangan suami isteri dicadangkan kepada pihak pendakwaan, saksi pendakwaan ke-27 dan terakhir itu menjawab: Tidak pernah.

Law: Sejak bila kamu dengar RM2.8 juta itu adalah 'introduction fee' untuk Datin Seri Zizie Izette?

Mohd Haris: Saya dengar mengenai 'introduction fee' pada Februari 2021 selepas dimaklumkan oleh pegawai penyiasat yang menggantikan saya bagi mengendalikan kes ini iaitu Penguasa Kanan Mohd Ihsan.

DATIN Seri Zizie Izette tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini. FOTO Bernama.
DATIN Seri Zizie Izette tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini. FOTO Bernama.

Dalam prosiding sebelum ini, perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Mohd Haris turut memberitahu mahkamah bahawa Norhaili dan ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid tidak pernah dipaksa, diugut dan dijanjikan oleh SPRM semasa rakaman percakapan mereka direkodkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara 2016 dan 2017.

Mereka juga tidak mengadu kepada pihak SPRM ketika rakaman percakapan mereka diambil.

Kepada soalan peguam M.Athimulan yang mewakili Bung Moktar, saksi itu berkata, rakaman percakapan Norhaili direkodkan sebanyak empat kali manakala Madhi, lima kali.

Pada awal prosiding, Hakim Rozina Ayob membenarkan bantahan awal oleh pihak pembelaan berhubung maklumat yang diperoleh Mohd Haris daripada pegawai atasan, yang didakwa bersifat dengar cakap dan boleh memprejudiskan kedua-dua tertuduh.

"Mahkamah berpuas hati bahawa maklumat itu tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009. Oleh itu bantahan awal pihak pembelaan dibenarkan," kata Rozina.

Pada 12 April lalu, Mohd Haris ketika memberi keterangan berkata, pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah bahawa aduan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai FIR kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

Pendakwaan pula berhujah aduan yang diterima daripada pegawai atasan itu dikategorikan sebagai FIR bagi membolehkan siasatan dimulakan dan pasukan siasatan tidak bergantung pada laporan itu semata-mata ketika menjalankan siasatan.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:19 PM