AMIRA Aisya, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
AMIRA Aisya, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Wakil rakyat tunggal Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa) diberi kata dua sama ada menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) atau meletak jawatan sekali gus mengosongkan kerusi berkenaan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan berkata, langkah itu perlu berikutan kerusi itu adalah milik PH yang sebelum ini diberikan kepada Amanah.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor mengingatkan Amira Aisya bahawa kerusi Dun Puteri Wangsa yang didudukinya itu adalah ihsan Amanah kepada Muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu.

"Amira Aisya (Timbalan Presiden Muda) kena ingat kerusi itu adalah ihsan daripada Amanah yang kita beri pada PRN Johor.

"Jadi dia ada dua pilihan sama ada keluar dari Muda sertai Amanah atau pulangkan semula kerusi Dun Puteri Wangsa kepada Amanah dan letak jawatan. Itulah maruah sepatutnya.

"Apabila Presiden (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) bersikap begitu (tarik sokongan kepada PH) dia seolah-olah macam kacang lupakan kulit.

"Patutnya dia (Syed Saddiq dan Amira Aisya) boleh berfikir, ini kerusi yang kita bagi berdasarkan persefahaman electoral pact beri laluan kepada Muda. Namun dia buat tindakan sedemikan rupa, sepatutnya dia ada maruah," katanya ketika dihubungi.

Isnin lalu, Muda dilaporkan tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor selepas memutuskan kerjasama dan keluar daripada gabungan politik itu.

Ia susulan Presiden Muda Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dilaporkan secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Syed Saddiq berkata, ia sebagai protes terhadap keputusan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Semalam, Amira Aisya yang juga Timbalan Presiden Muda diumumkan bukan lagi duduk dalam blok PH di Dun Johor.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, menerusi pakatan pilihan raya pada PRN Johor, PH iaitu Amanah dan Dap bersetuju memberikan enam DUN milik dua parti itu kepada Muda iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.

"Pimpinan Muda perlu belajar sejarah, jangan gopoh dan semata-mata hanya membuat langkah populis sahaja. Ingat kembali bagaimana mereka peroleh kemenangan di Puteri Wangsa.

"PH yang bagi laluan berdasarkan kepada pakatan pilihan raya, tetapi sekarang mereka mengkhianati kami selepas tarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 12:16 PM