SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Bernama
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Bernama
Luqman Arif Abdul Karim


Johor Bahru: Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan menurunkan Presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai calon untuk bertanding di mana-mana kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, percaturan untuk mempertaruhkan Presiden sebagai calon mempunyai kesan baik dan buruk.

Malah, beliau mendedahkan wujud perdebatan 'hangat' dalam kalangan pucuk pimpinan dan ahli parti mengenai sama ada Ahli Parlimen Muar itu wajar bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor atau sebaliknya.

"Sudah tentu ada mencadangkan (supaya Syed Saddiq bertanding pada PRN Johor) dan ada perbahasan dalam Muda kerana kami sangat lantang sehingga pelbagai benda kita bahaskan.

"Tetapi ada baik dan buruk, sama ada buruk melebihi baik atau sebaliknya jika Syed Sadidq turun bertanding.

"Secara peribadi, adalah lebih penting, fokus kepada tujuh kerusi yang kita umumkan dengan buktikan bakat kepemimpinan tanpa ada lagi mempertikaikan atau bertelagah di luar sana.

"Cuma, sekarang Muda akan tumpukan perhatian kepada tujuh kerusi saja," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Puteri Wangsa, di sini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa supaya Syed Saddiq turun bertanding sebagai calon pada PRN Johor, memandangkan seorang pemimpin didakwa perlu menerajui gerak parti dari hadapan.

Menjelang hari penamaan calon, esok, teka-teki mengenai kemungkinan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk dipertaruhkan sebagai calon mewakili Muda hangat diperkatakan pelbagai pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:52 PM