PEMANDANGAN udara ruang parkir yang disediakan untuk pengunjung di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.Namun parkir yang disediakan itu dikatakan tidak mencukupi berikutan pemilik pangsapuri berhampiran memakir kenderaan mereka di kawasan medan selera terbabit. Keadaan terbabit, sekali gus menyusahkan pelanggan yang mahu berkunjung di situ. FOTO BERNAMA
PEMANDANGAN udara ruang parkir yang disediakan untuk pengunjung di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.Namun parkir yang disediakan itu dikatakan tidak mencukupi berikutan pemilik pangsapuri berhampiran memakir kenderaan mereka di kawasan medan selera terbabit. Keadaan terbabit, sekali gus menyusahkan pelanggan yang mahu berkunjung di situ. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan menaik taraf pusat penjaja di Bandar Sri Permaisuri di sini, termasuk pemasangan bumbung tambahan di ruang terbuka hadapan setiap premis memberikan keselesaan kepada pelanggan menikmati makanan di medan selera terbabit.

Malah, rata-rata penjaja menyatakan jualan mereka turut meningkat sebanyak 10 peratus selepas pertambahan sekali ganda ruang tempat duduk untuk pelanggan di bawah bumbung tambahan yang baru dipasang itu berbanding sebelum ini, memuatkan 36 kerusi sahaja.

Bumbung tambahan dianggarkan berukuran 15 meter (m) lebar dan 155 m panjang itu siap sepenuhnya dipasang oleh kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira Julai lalu, selepas dua bulan proses pemasangannya dilakukan.

BUMBUNG tambahan dianggarkan berukuran 15 m lebar dan 155 m panjang siap sepenuhnya dipasang oleh pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Julai lalu selepas dua bulan proses pemasangannya dilakukan. FOTO BERNAMA
BUMBUNG tambahan dianggarkan berukuran 15 m lebar dan 155 m panjang siap sepenuhnya dipasang oleh pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Julai lalu selepas dua bulan proses pemasangannya dilakukan. FOTO BERNAMA

Pemilik gerai Sup Meletup, Zolkhoari Abdul Aziz berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana permohonannya diluluskan dalam kadar segera.

"Saya dan peniaga di sini, merasakan ada satu kebangkitan bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan untuk bantu, walaupun sebelum ini sudah banyak kali permohonan dibuat sejak pusat penjaja itu beroperasi 10 tahun lalu.

"Jadi, kami rasa sangat bertuah atas keprihatinan beliau (Anwar) yang datang berkunjung ke pusat penjaja ini pada Disember tahun lalu dan segera menyelesaikan masalah (permohonan) yang sudah lama tertangguh sebelum ini," katanya.

ZOLKHOARI. FOTO BERNAMA
ZOLKHOARI. FOTO BERNAMA

Terdahulu, pada Februari lepas Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kios sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Pada 4 September lalu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur pada majlis pelancaran program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D'Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan di sini.

Seorang pengunjung di pusat penjaja itu, Khairani Ishak berkata, penambahbaikan itu satu langkah tepat kerana ia antara lokasi tumpuan pengunjung datang makan bersama keluarga atau rakan kerana menu pelbagai dan harga yang berpatutan.

"Sebelum ada bumbung tambahan ini, kawasan makan agak sempit, ditambah pula cuaca yang panas apatah lagi pada waktu puncak seperti makan tengah hari yang agak ramai, tapi bila ada kemudahan ini ia lebih menyenangkan untuk sesiapa yang makan di sini," katanya.

MOHD Saddam. FOTO BERNAMA
MOHD Saddam. FOTO BERNAMA

Bagi peniaga tomyam, Mohd Saddam Ali berkata, beliau berharap supaya permohonan pembesaran ruang parkir yang dikemukakan sebelum ini juga dapat dipertimbangkan kerana jumlah sedia ada tidak mencukupi dan sering diguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kawasan parkir baharu perlu dibina di ruang tanah yang kosong bersebelahan dengan kawasan parkir pusat penjaja terbabit, namun ia masih tidak dapat dilakukan kerana kawasan terbabit berstatus sebagai kawasan hijau.

"Ruang parkir awam yang sekarang ada 64 petak, ia dikhususkan untuk pengunjung pusat penjaja, tapi ia belum mencukupi. Ada pemilik pangsapuri berhampiran sewenang-wenangnya memarkir kenderaan mereka di sini, sekali gus menyusahkan pelanggan yang mahu berkunjung makan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:05 AM