Ahmad Ismail


Segamat: Menyedari ramai mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan kucing peliharaan kerana bergegas meninggalkan kediaman selepas air naik mendadak, sukarelawan Medic Iltizam Ambulance Segamat melancarkan gerakan mencari dan menyelamat haiwan itu di Kampung Seberang Batu Badak, di sini.

Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Segamat yang juga Pengendali Medic Iltizam Ambulance Segamat, Fairuz Yahya, 50, berkata, idea itu tercetus selepas melihat banyak 'si bulus' terperangkap dan ada yang mati dalam kejadian banjir besar di Segamat pada 2006 dan 2011 lalu.

"Apabila menyedari tempat tinggal mereka dinaiki air, ada penduduk yang panik dan bergegas menyelamatkan diri serta terlupa nasib kucing sebelum ke pusat pemindahan sementara (PPS) .

"Mungkin dalam kelam-kabut itu, mangsa terlupa membawa bersama kucing peliharaan menyebabkan haiwan berkenaan terperangkap sama ada di pokok, bumbung atau di bumbung parkir luar kediaman," katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Badak di sini, hari ini.

Fairuz Yahya berkata, seramai 10 sukarelawan terbabit dalam usaha mengesan kucing yang ditinggalkan mangsa banjir di sekitar kediaman.

Fairuz bersama sukarelawan menyelamatkan kucing  yang tereperangkap akibat banjir. FOTO Ahmad Ismail
Fairuz bersama sukarelawan menyelamatkan kucing yang tereperangkap akibat banjir. FOTO Ahmad Ismail

"Selain menyelamatkan kucing ke tempat yang selamat, kami juga memberi makan serta merawat haiwan itu di ambulans sementara menunggu air surut dan tuannya pulang," katanya.

Katanya, sebuah van Toyota LiteAce dibeli pada 2014 dengan nilai RM35,000 sebelum diubahsuai menjadi ambulans.

"Medic Iltizam Ambulance turut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain sukarelawan mengikuti pelbagai kursus perubatan, pertolongan cemas serta sijil asas perubatan oleh PBSM.

"Di luar musim bah, kami turut membantu membawa pesakit ke lokasi rawatan pusat perubatan awam dan swasta di seluruh negara dengan kos berpatutan," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Salleh Yahya, 47, berkata, keluarganya memelihara tujuh kucing dan terpaksa meninggalkan haiwan itu selepas kediaman dinaiki air sedalam 1.5 meter empat hari lalu.

"Terkejut dimaklumkan sebuah ambulans datang bersama sukarelawan merawat serta memberikan makanan kucing yang kelaparan. Saya amat menghargainya," katanya.

FAIRUZ (kiri) bersama sukarelawan memberi makanan dan merawat seekor kucing mangsa bah di Kampung Seberang Badak, Segamat. FOTO  Ahmad Ismail
FAIRUZ (kiri) bersama sukarelawan memberi makanan dan merawat seekor kucing mangsa bah di Kampung Seberang Badak, Segamat. FOTO Ahmad Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:29 PM