ATLET larian berhalangan, Mohd Saddam Mohd Pittli bersama isteri, Norzaiemah Mat Hussain. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
ATLET larian berhalangan, Mohd Saddam Mohd Pittli bersama isteri, Norzaiemah Mat Hussain. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
NORAZIEMAH merupakan atlet pasukan ATM menjadi tonggak kecemerlangan suami di arena sukan larian berhalangan. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
NORAZIEMAH merupakan atlet pasukan ATM menjadi tonggak kecemerlangan suami di arena sukan larian berhalangan. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
Hafiz Ithnin


DILIHAT agak kekok beraksi di hadapan lensa jurukamera kami. Bagaimanapun, terbit rasa kagum dengan bekerjasama pasangan suami isteri ini.

Malah dalam kalangan peminat sukan lasak, nama si suami, Mohd Saddam Mohd Pittli bukan sesuatu yang asing. Membina nama sejak 2016 di arena sukan larian berhalangan dan kini semakin popular.

Dalam tempoh lima tahun mencipta nama, kejayaan demi kejayaan diraih sehingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan sehingga kini belum ada bakat tempatan yang mampu menyaingi kemampuannya.

Tatkala penulis rancak berbual merakam kata si Saddam, suri hatinya, Noraziemah Mat Hussain hanya duduk bertenang menadah wajah ditata rias jurusolek profesional, Aya Ali. Dilengkapkan pula dengan padanan busana milik Wan & Marry untuk sesi fotografi bagi menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM) kali ini.

“Kali terakhir, lima tahun lalu saya dirias mekap tebal sebegini. Itu pun ketika majlis persandingan kami. Jika tidak, pergi kerja pun hanya berbedak tipis. Paling utama adalah kemas,” jelas wanita itu yang juga seorang anggota tentera.

Sebelum sesi penggambaran ini berlangsung, penulis merisik mengenai latar belakangnya. Beliau adalah ibu kepada dua anak dan baru tujuh bulan selamat melahirkan anak kedua, Muhammad Syauqi Al Zayyad.

AKTIF melakukan latihan bersama. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
AKTIF melakukan latihan bersama. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli

Sebenarnya, Noraziemah juga adalah seorang atlet olahraga dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sama seperti Saddam. Cuma, suaminya lebih menonjol dalam arena sukan selepas berjaya meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara dalam sukan baru itu.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, meskipun sudah berkahwin dengan Saddam dan keserasian kerana bergelar atlet dan anggota tentera, namun pada awalnya dia tidak menggalakkan suaminya menyertai sukan berkenaan.

Alasannya, menjadi atlet larian berhalangan bukan seperti atlet larian yang dipertandingkan dalam temasya olahraga yang biasa kerana pesertanya perlu mempunyai kekuatan fizikal maksimum untuk merentasi pelbagai halangan seperti mengangkat beban dan meredah selut.

“Kecederaan ketika beraksi paling menjadi kerisauan. Keduanya, ketika itu saya melihat suami hanya biasa menjadi atlet dalam sukan larian sahaja dan yuran penyertaan bagi menyertainya juga agak tinggi.

“Apatah lagi ketika itu kami baru sahaja mempunyai anak pertama, Muhammad Syahid Al Zahran yang kini berusia tiga tahun tujuh bulan. Jadi sudah semestinya kerisauan sentiasa bermain dalam fikiran. Namun, sebagai seorang isteri saya tetap berada di belakangnya,” katanya.

Ketika kali pertama menyertai kejohanan itu, Aziemah tidak menemani Saddam kerana menjaga si kecilnya. Jika tidak dia juga mahu berada di atas padang untuk memberi semangat kepada suaminya.

MELUANGKAN masa berlatih di gimnasium bersama sekiranya mempunyai waktu lapang. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
MELUANGKAN masa berlatih di gimnasium bersama sekiranya mempunyai waktu lapang. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli

Ternyata, percaturan Saddam dalam kejohanan pertama disertainya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara dan mengalahkan pesaing dari luar negara yang sudah biasa dengan kejohanan itu.

Bermula dari situ, namanya meningkat naik. Satu persatu peluang dari segi penajaan diberikan kepada bapa berusia 29 tahun itu. Sehingga kini lebih 20 kejohanan disertainya di dalam dan luar negara dengan majoritinya gelaran juara sebaik sahaja melangkah ke garis penamat.

Antara pencapaian terbaiknya apabila berjaya menghadiahkan pingat perak dan gangsa pada Sukan Sea 2019 kepada negara. Tidak sekadar itu, dia juga dinobatkan sebagai penerima Lambang Emas Atlet ATM 2020 dan penerima Anugerah Khidmat Cemerlang Tentera Darat 2020.

Noraziemah berkata, pastinya elemen kepemimpinan dan memahami menjadi dambaan seorang wanita kepada mereka yang bergelar suami dan perkara itu ada pada pasangannya.

“Sebelum berkahwin lagi saya dapat menghidu Saddam seorang yang tegas. Jika berlatih bersama di atas padang saya tidak boleh main-main. Malah, selepas bersalin, dia amat menggalakkan saya untuk kembali ke atas padang untuk terus menjadi atlet.

“Bagi saya, minat dan kerjaya yang sama memberi kelebihan kepada kami untuk lebih akrab. Cuma, selepas bersalin anak kedua ini, saya mungkin memperlahankan aktiviti larian kerana ingin menumpukan perhatian kepada anak-anak kami. Dia juga faham soal itu,” katanya.

SADDAM dan Aziemah mempunyai keserasian dalam kerjaya dan sukan. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli
SADDAM dan Aziemah mempunyai keserasian dalam kerjaya dan sukan. FOTO Eizairi Shamsudin & Ihsan Saddam Pittli

Dalam satu temu bual berasingan bersama Saddam, dia berkata, isteri dan anak-anak adalah aset peribadi terpenting buatnya. Malah dalam setiap kejohanan ingin melihat mereka bersorak kegembiraan apabila menjadi yang pertama melepasi garisan penamat.

“Pernah dalam satu kejohanan pada 2017 ketika itu saya mendahului peserta lain. Namun tersesat laluan dan apabila berjumpa dengan penjaga laluan, dia maklumkan saya berada di kedudukan keempat. Saya tidak suka dengan angka selain nombor satu dalam kejohanan dan mengambil keputusan untuk berpatah balik.

“Baru beberapa langkah, saya terfikir mengenai isteri dan anak menunggu di garisan penamat. Ketika itu, saya terus berlari mengejar pesaing yang paling di hadapan sehingga berjaya bergelar juara,” katanya.

Saddam berkata, Aziemah seorang yang cukup ringkas orangnya, tidak mengejar gaya dalam kehidupan, penyabar dan sentiasa matang dalam berfikiran menjadikannya yang diakui seorang yang panas baran kembali ‘sejuk’ apabila melihat si isteri.

Sengaja penulis menjentik soalan mengenai bentuk fizikalnya yang menawan, tidakkah suri hatinya cemburu apabila ada yang cuba mendekatinya?

“Instagram saya tidak ‘private’ jadi ada pengikut yang menghantar pelbagai pesanan yang diakui kadangkala melampaui batas. Jujurnya, pesanan mereka itu saya kongsikan kepadanya.

“Reaksinya seperti biasa tenang dan kadangkala kami ketawa bersama membaca pesanan itu. Perkara yang selalu dia pesan ialah ingatkan keluarga dan sebagai isteri pastinya dia lebih tahu mengenai saya berbanding orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:00 AM