Muhamad Lokman Khairi

Bagan Datuk: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kehadirannya di dalam Persidangan Tahunan DAP 2023 hari ini tidak disalah erti atau dimanipulasi.

Menurutnya, keberadaan di dalam perhimpunan parti itu adalah bertujuan menyantuni rakan parti di dalam kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid berkata kehadirannya itu juga sebagai tanda penghargaan atas kehadiran Setiausaha DAP, Anthony Loke ketika Perhimpunan Agung UMNO pada Jun lalu.

"Kita kini berada dalam gagasan parti gabungan. Orang berbudi, kita berbahasa.

"Ini pertama kali dalam sejarah seumur hidup saya menghadiri mana-mana perhimpunan agung parti berkenaan, namun sambutan dengan tepukan bergemuruh secara penuh ikhlas mengejutkan saya.

"Saya harap tidak ada interpretasi pelbagai sebab sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya dalam kerajaan Perpaduan dalam kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, landskap politik sudah berubah," katanya selepas merasmikan Program Malaysia Next Reader di Dewan Datuk Lop Hashim, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Kelab Silaturrahim Bagan Datuk sempena program Malaysia Next Leaders. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahmad Zahid (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Kelab Silaturrahim Bagan Datuk sempena program Malaysia Next Leaders. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Penasihat Malaysia Next Leaders, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata UMNO menghormati parti gabungan dalam kerajaan terutama dari segi prinsip yang sudah dinyatakan oleh kepimpinan DAP berkaitan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Itulah komitmen yang mereka perlihatkan dan tadi pun Anthony Loke ulang dalam ucapan dasarnya.

"Saya harap ini tidak akan mengelirukan masyarakat Islam dan orang Melayu. Saya fikir jangan ada manipulasi oleh mereka kata UMDAP (UMNO - DAP) dan sebagainya. Itu adalah propaganda politik.

"Tapi kita lihat keberhasilannya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan di Simpang Jeram, kombinasi pengundi pelbagai kaum memenangkan kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 7:29 PM