Alias Abd Rani

Muar: DAP tidak perlu menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan 'Malaysian Malaysia' kerana persefahaman sudah pun dicapai antara parti dalam gabungan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, semua parti membuat perjanjian dan bersetuju tidak akan menyentuh prinsip serta perlembagaan parti masing-masing.

Beliau berkata, pada masa sama, DAP juga tidak pernah meminta parti lain meminda Perlembagaan negara kerana semua parti mempunyai prinsip perjuangan atau ideologi masing-masing.

"Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri sudah berpuas hati dengan penjelasan kita sebelum mereka (Barisan Nasional) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

"Peruntukan dalam Perlembagaan saya tegaskan selama ini ialah beberapa perkara asas yang menjadi kebimbangan kepada orang Melayu sudah pun saya jelaskan.

"DAP mendokong prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas Ceramah PH di Wisma DAP, di sini, malam tadi.

LOKE ketika ditemui selepas Ceramah PH di Wisma DAP, Taman Sakeh Baru. FOTO Alias Abd Rani
LOKE ketika ditemui selepas Ceramah PH di Wisma DAP, Taman Sakeh Baru. FOTO Alias Abd Rani

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, supaya DAP menggugurkan tuntutan 'Malaysian Malaysia' dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota Bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Dalam pada itu, Loke berkata, sepatutnya perkara itu tidak perlu lagi diungkit atau mencipta polemik yang mana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.

"Bagi saya masing-masing ada pandangan dengan setiap parti ada prinsip perjuangan, ini tidak menjadi masalah apabila kita bekerjasama dalam satu gabungan politik terutamanya apabila membentuk kerajaan perpaduan.

"Tetapi apa yang penting pada hari ini, kita membentuk kerajaan perpaduan, bekerjasama atas parameter dengan paling penting ialah kita mengangkat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 8:56 AM