GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Polis memburu pekerja kolam udang warga Myanmar kerana disyaki membunuh rakan sekerjanya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, mayat mangsa yang juga warga Myanmar berusia lingkungan 40-an ditemui di dalam kolam buangan sisa kotoran di Lumut, di sini dengan satu kesan tikaman di dada.

Katanya, motif pembunuhan disyaki berpunca daripada pergaduhan yang tercetus selepas masing-masing mabuk.

"Kejadian dilapor majikan mereka pada 2.19 petang kelmarin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk melaporkannya di balai polis berhampiran atau berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5077026.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 6:25 PM