GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Balqis Jazimah Zahari


Sitiawan: Polis berjaya merampas 30 unit mesin bitcoin yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri arus elektrik dalam satu serbuan di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, serbuan pada jam kira-kira 10.50 malam itu dilakukan dengan kerjasama juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Tangkapan dan rampasan mesin bitcoin berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri elektrik di daerah Manjung. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh polis," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nor Omar berkata, operasi itu adalah kesinambungan daripada Op Bitcoin yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sejak tahun lalu.

"Tahun lalu sebanyak 49 serbuan dibuat dengan 18 tangkapan serta 2,510 unit mesin dirampas. Manakala, bagi tempoh awal tahun sehingga kini, sebanyak 68 serbuan dibuat dempat tangkapan serta 2,429 unit rampasan mesin bitcoin," katanya.

Menurutnya, pihak IPD Manjung akan terus menjalankan operasi secara berterusan dan memerangi sehabis-habisan dalam kegiatan kecurian arus elektrik di dalam daerah Manjung.

Katanya, pihaknya turut tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membendung kegiatan berkenaan dan menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini kepada Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 11:06 AM