LOKASI mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Nenggiri. FOTO Ihsan JBPM
LOKASI mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Nenggiri. FOTO Ihsan JBPM
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kegembiraan seorang kanak-kanak Orang Asli yang pulang ke Kampung Setawar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, bertukar tragedi apabila dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Nenggiri petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang tadi mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dipercayai hanyut ketika mandi bersama ahli keluarganya di sungai terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, mangsa yang dikatakan dari Selangor pulang bersama keluarga untuk menyambut Aidiladha.

"Ahli keluarga sudah memohon bantuan anggota keselamatan seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari mangsa.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh anggota keselamatan, namun sehingga malam ini mangsa masih gagal dijumpai," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.25 petang.

"Sehingga 7.38 malam tadi mangsa belum dijumpai dan operasi terpaksa ditangguhkan atas faktor keadaan gelap dan arus sungai yang deras.

"Operasi akan diteruskan pada pagi esok dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) untuk untuk mencari mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 10:57 PM