Anggota polis memeriksa pelajar sekolah dalam Ops Khas atau Op Didik di sekolah menengah sekitar Manjung manakala Muhammad Hanif (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
Anggota polis memeriksa pelajar sekolah dalam Ops Khas atau Op Didik di sekolah menengah sekitar Manjung manakala Muhammad Hanif (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
Noor Hidayah Tanzizi


“RUMAH saya dekat je (sahaja) dengan sekolah sebab itu tak pakai helmet (topi keledar).”

Itu antara alasan yang sering diberikan pelajar sekolah menengah apabila mereka ditahan anggota polis yang menjalankan penguatkuasaan keselamatan jalan raya di daerah Manjung.

Alasan yang diberikan itu menunjukkan mereka seolah-olah tidak takut biarpun melalui Jalan Sitiawan - Lekir yang juga kawasan panas kemalangan maut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, tidak memakai topi keledar antara kesalahan tertinggi yang dikesan dalam Op Khas atau Op Didik yang dijalankan di tiga sekolah menengah di sekitar daerah ini.

Menurutnya, tiga sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung dan SMJK (C) Nan Hwa yang dijalankan pada Jumaat lalu manakala SMK Batu 10 Lekir di Sitiawan, hari ini.

Katanya, operasi membabitkan dua pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Manjung dengan kerjasama tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Manjung.

“Dalam operasi ini, kami memeriksa 45 pelajar di ketiga-tiga sekolah berkenaan dengan pemeriksaan 32 kenderaan membabitkan 28 motosikal dan empat kereta.

“Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 18 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan 16 pesalah motosikal dan dua pesalah kereta.

“Kesalahan tidak memakai topi keledar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 12 orang, lima orang tiada lesen memandu dan satu kesalahan membabitkan tiada cermin sisi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Hanif berkata, tiada tangkapan dibuat dan saman yang dikeluarkan sebagai amaran serta peringatan kepada pelajar terbabit supaya mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sentiasa komited dalam menguatkuasa undang-undang terutama dalam kalangan pelajar sekolah bagi memastikan mereka mempunyai kesedaran terhadap keselamatan diri ketika berada di jalan raya.

“Program ini bukan perkara baharu dan ia dijalankan dalam usaha memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai keselamatan, kepentingan memakai topi keledar, mematuhi undang-undang dan mempunyai disiplin. “Hari ini program berkenaan dijalankan di SMK Batu 10 Lekir, Sitiawan dengan ceramah keselamatan disampaikan Pegawai Trafik IPD Manjung, Inspektor Nurul Aziati Anizar membabitkan kehadiran 500 pelajar dengan 40 guru dalam mendidik dan mendedahkan aspek keselamatan jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 5:07 PM