BARISAN pemain Terengganu FC meraikan kemenangan mereka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
BARISAN pemain Terengganu FC meraikan kemenangan mereka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) terpaksa mandi peluh sebelum mara ke suku akhir saingan Piala FA selepas menumpaskan Perak FC 2-1 pada Pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu bakal bertembung pemenang antara Sabah FC ataupun KL Rovers yang bakal beraksi esok.

Pada perlawanan itu, skuad The Bos Gaurus terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi rembatan padu Luiz Henrique dalam kotak penalti pada keenam berpunca sepakan percuma kapten, Luciano Guaycochea untuk mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, skuad kendalian Yusri Che Lah hampir menambah jaringan kedua menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-20, namun penjaga gol Suhaimi Husin yang baharu kali pertama beraksi pada musim ini berjaya menggagalkan percubaan itu.

Aksi serba tidak menjadi yang diperagakan pemain TFC dengan hantaran yang tidak kemas selain tiada percubaan yang berkualiti jelas mengecewakan lebih 20,000 peminat setia skuad Penyu yang hadir ke stadium.

Bagaimanapun pada minit ke-35, TFC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zamzaidi Katimin selepas Manuel Ott dijatuhkan Tommy Mawat hasil hantaran Ismaheel Akinade.

Sepakan penalti yang diambil kapten, Safawi Rasid gagal diselamatkan penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid untuk TFC menyamakan kedudukan 1-1.

Selepas jaringan itu, pemain skuad Penyu kian bersemangat untuk buru jaringan kedua, namun dua percubaan menerusi pemain tengah, Marin Pilj gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Percubaan berterusan pemain skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan deras Pilj dari luar kotak penalti pada minit ke-42 menerjah jaring gol untuk pasukannya mendahului 2-1 sehingga berakhir babak pertama.

Pada minit ke-70, malang buat Perak FC apabila hasil semakan video bantuan pengadil (VAR), pemain tengahnya, Muhammad Firdaus Saiyadi dilayangkan kad merah selepas menyiku kepala Safawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:25 PM