KAWASAN bangunan di Genting Highlands yang terbakar. FOTO Facebook Pasukan Bomba Sukarela Gombak/Muhammad Irwan
KAWASAN bangunan di Genting Highlands yang terbakar. FOTO Facebook Pasukan Bomba Sukarela Gombak/Muhammad Irwan
BERNAMA

Genting Highlands: Api marak dan asap tebal yang menyelubungi kawasan bangunan di taman tema Genting Highlands mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.

Seorang pengunjung Hafiz Abdul Halim, 42, berkata, perasaan takut mula timbul apabila menyedari terdapat kebakaran di tingkat dua bangunan di taman tema itu.

"Kita sudah tentu panik apabila dengar orang jerit sana sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis yang bertugas meminta orang ramai untuk meninggalkan premis dan keluar ke lokasi yang lebih selamat.

Seorang pekerja restoran Adrian Wong, 32, berkata, semua petugas di premis itu termasuk orang awam diarahkan mengosongkan premis ekoran kebakaran pada petang tadi.

"Mereka meninggalkan segala urusan untuk selamatkan diri," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa dalam kenyataan berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.30 petang tadi.

Beliau berkata, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang memaklumkan menerima laporan berkaitan insiden itu pada 4.55 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:39 PM