PEMAIN Kuching City FC Tchetche Hermann (tengah) diasak  pemain KL City FC Ryan Edward  di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN Kuching City FC Tchetche Hermann (tengah) diasak pemain KL City FC Ryan Edward di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kuching City FC (KCFC) terpaksa bangkit tiga kali sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur (KL) City dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak harus berterima kasih kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila menyelamatkan mereka daripada mengalami kekalahan lebih awal dalam perlawanan itu.

Bermain di halaman sendiri, anak buah Miroslav Kuljanac tampak lebih yakin dalam mengawal permainan dan bermula garang apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain muda, Haqimi Azim Rosli pada minit ke-14.

Tersentak jaringan awal, pasukan pelawat cuba mengatur semula permainan dengan beberapa serangan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila berpunca dari sepakan sudut, Filemon Anyie Standy meledak jaringan penyamaan pada minit ke-26 melalui satu rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Namun, jaringan itu tidak bertahan lama apabila ketua pasukan KL City, Paulo Josue memanfaatkan kesilapan pertahanan KCFC untuk kembali meletakkan tuan rumah di hadapan pada mint ke-33.

Tindakan Aidil Sharin membawa masuk Nur Shamie Iszuan Amin di separuh masa kedua ternyata memberi sengat pada bahagian serangan dan pemain itu memainkan watak penting dan memainkan peranan untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-68.

Berbaki 10 minit terakhir, KL City dilihat lebih banyak bermain serangan balas namun setiap kali hadir ke kubu lawan, ia mendatangkan bahaya.

Pada minit ke-91, Ryan Lambert mempunyai peluang terbaik apabila pintu gol terbuka luas namun tandukannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol KCFC, Shahril Sa'ari.

KL City hampir menamatkan pemainan apabila Giancarlo Gallifuoco menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan namun ia dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) dan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Anak didik Miroslav sekali lagi menunjukkan

mereka lebih baik dan menguasai permainan dengan serangan dari kiri dan kanan dan hampir mendapatkan penalti namun sekali lagi, VAR menjadi penghalang untuk menafikan sepakan penalti itu.

Di kala perlawanan hampir pasti ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang dan Kl City seperti perlahankan rentak permainan.

Berlaku 'plot twist' apabila mereka dihukum berpunca satu serangan balas pantas pasukan KCFC dari sebelah kanan melalui Alauddin Farid Atan dengan larian deras berjaya memerangkap pemain tuan rumah.

Hantaran lintang darinya disambut baik o pemain gantian Zahrul Nizwan bagi meledak jaringan kemenangan untuk membolehkan mereka ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:59 PM