Datuk Azlan Man tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes dihadapinya. FOTO FATHIL ASRI.
Datuk Azlan Man tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes dihadapinya. FOTO FATHIL ASRI.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan lima tuduhan menerima hasil aktiviti haram yang dihadapinya.

Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa pihaknya sudah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan dan memerlukan lanjutan masa untuk meneliti untuk melengkapkan representasi tersebut.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu dan menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

"Pada tarikh itu jika tiada perkembangan lanjut berhubung representasi, maka semua pihak perlu bersedia untuk memulakan perbicaraaan kes," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai, memaklumkan kepada mahkamah, tertuduh belum menghantar surat representasi kepada AGC dan memaklumkan semua dokumen sudah diserahkan kepada peguam tertuduh.

Pada prosiding pada 9 Jun lalu, Azura membenarkan permohonan pendakwaan supaya lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap Azlan yang didakwa di Mahkamah Kangar, Perlis

digabungkan dan didengar bersama lima tuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram (yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) mengikut Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pada prosiding itu juga, mahkamah diberitahu pihak pembelaan akan menghantar representasi kepada AGC.

Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.

Pada 12 April pula, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 12:25 PM