DATUK Seri Abdul Azeez Rahim
DATUK Seri Abdul Azeez Rahim
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Ahli keluarga bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan syarikat mereka mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai dan harta kesemuanya bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Peguam Datuk Prem Ramachandran memberitahu Mahkamah Tinggi dalam prosiding hari ini bahawa pihaknya sudah mengemukakan surat representasi kepada AGC untuk dipertimbangkan pada 16 November lalu.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan bahawa pihak AGC akan membincangkan representasi itu dalam masa tiga minggu.

Sehubungan itu, beliau memohon Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menimbangkan untuk menangguhkan pendengaran hari ini bagi menunggu keputusan representasi itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan itu.

Nik Haslinie mengesahkan bahawa surat representasi diserahkan kepada Ketua Pendakwaan AGC bagi arahan selanjutnya.

Peguam Poh Choo Hoe yang bertindak bagi pihak ketiga, manakala Maybank Islamic juga tidak membantah permohonan penangguhan.

Muhammad Jamil kemudian menetapkan pada 8 Februari depan bagi pengurusan kes bagi pihak memaklumkan kepada mahkamah perkembangan lanjut berhubung representasi.

Melalui saman yang difailkan pada September 2019 itu, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding saman melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu di Mahkamah Sesyen diputuskan.

Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua tuduhan di Mahkamah Rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:09 PM