Fadhlina melihat robot dihasilkan salah satu pasukan layak ke Panama. FOTO Alias Abd Rani
Fadhlina melihat robot dihasilkan salah satu pasukan layak ke Panama. FOTO Alias Abd Rani
Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Peruntukan perolehan peralatan bagi pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) dan robotik akan menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) Dalam inisiatif belanjawan akan datang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM akan memperhalusi peruntukan diperlukan selaras dengan keperluan semasa bagi mengembangkan lagi pendidikan berimpak tinggi itu, sekali gus membudayakan Stem yang menjadi sebahagian hala tuju negara.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM5.8 juta bagi perolehan peralatan Stem dan robotik kepada 320 sekolah seluruh negara menerusi program Young STEMist Expo (YSE).

"KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan inisiatif terutama dalam soal pembudayaan Stem yang boleh melahirkan lebih ramai generasi muda berilmu kreatif, kritis, inovatif dan inventif serta berdaya saing.

"Pembekalan set peralatan robotik ke sekolah rendah dan menengah memberi peluang kepada murid melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara 'hands on' dalam kelas dan juga ketika aktiviti kokurikulum.

"Apabila kita bercakap mengenai kemajuan teknologi, ia harus memberikan kesan kepada komuniti dan meningkatkan sisi manusiawi secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir 2023 dan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Pasukan Kementerian Pendidikan ke Pertandingan Peringkat Antarabangsa di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Johor Md Said Md Daimon.

Katanya lagi, pelajar perlu didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran penggunaan set robotik dan seterusnya memberi peluang kepada mereka menyerlah bakat dan potensi diri.

"Tahun ini adalah yang ke-19 penganjuran Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) yang mana pasukan terbaik akan mewakili negara di Panama.

"Tahun ini, NRC dijalankan secara bersemuka dengan 1,857 penyertaan membabitkan 5,625 pelajar seluruh negara," katanya.

Untuk rekod, daripada 11 penyertaan di peringkat dunia sejak 2009, Malaysia muncul juara keseluruhan sebanyak lapan kali manakala naib juara tiga kali.

Kali terakhir Malaysia muncul juara ialah pada 2021 ketika pertandingan dijalankan secara maya akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 3:02 PM