AIDIE (kanan) ketika pelancaran Majlis Perasmian dan Penutup MINI SCITECH 2018.
AIDIE (kanan) ketika pelancaran Majlis Perasmian dan Penutup MINI SCITECH 2018.
PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing menerima hadiah bagi juara Keseluruhan MINI SCITECH 2018.
PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing menerima hadiah bagi juara Keseluruhan MINI SCITECH 2018.
Fazurawati Che Lah


Pertandingan MINI SCITECH 2018 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor berjaya mengaplikasikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah.

MINI SCITECH anjuran Jabatan Pendidikan Sains dan Science Education Society (SEEDS), Fakulti Pendidikan UiTM itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disertai lebih 200 pelajar daripada 24 sekolah menengah dari seluruh negara.

Penganjur Program, Muhd Fattuhul Anuwar Abdul Rahim berkata, MINI SCITECH 2018 adalah program yang menerapkan aplikasi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, pertandingan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengangkat pendidikan STEM dan meningkatkan minat terhadap mata pelajaran itu dalam kalangan pelajar.

“Empat kategori dipertandingkan iaitu Drama Sains, Reka Cipta dan Inovasi, Kapal Terbang Kertas dan School Lab.

“Pertandingan Kapal Terbang Kertas antara pertandingan baharu yang diperkenalkan dan mendapat sambutan luar biasa dalam penganjuran kali ini,” katanya.

Pada pertandingan itu, MRSM Mersing, Johor menjadi Juara Keseluruhan MINI SCITECH 2018.

Bagi johan setiap kategori dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Kuala Lumpur (Drama Sains), SMK Tinggi Klang, Selangor (Kapal Terbang Kertas), Sekolah Menengah Agama Kuala Selangor, Selangor (Rekacipta dan Inovasi) dan MRSM Mersing, Johor (School Lab).

Program itu dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Aidie Jantan.

Muhd Fattuhul Anuwar berkata, sambutan MINI SCITECH 2018 kali ini luar biasa dan menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding penganjuran SCITECH pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 12:59 PM