DR Shaik (kiri) bersama Mohd Asri mengambil buku akademik bagi subjek STEM ketika melakukan simbolik peluncuran pada Majlis Aspresiasi 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024.
DR Shaik (kiri) bersama Mohd Asri mengambil buku akademik bagi subjek STEM ketika melakukan simbolik peluncuran pada Majlis Aspresiasi 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024.
Zuhainy Zulkiffli


Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bagi meneruskan program peningkatan akademik dan galakan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) tahun ini kepada pelajar daripada latar belakang keluarga B40 di kawasan luar bandar.

Pengurus Besar PERDA Mohd Asri Baharum berkata, peruntukan itu membabitkan 5,500 pelajar daripada 71 sekolah di seluruh Pulau Pinang iaitu sebanyak 47 sekolah rendah dan 24 menengah.

Katanya, ia selaras dengan matlamat PERDA menerusi program Luar Bandar Cerdik STEM 2024 bagi terus merapatkan kesenjangan dalam pencapaian akademik terutama dalam subjek STEM dan Bahasa Inggeris, selain beri peluang serta akses kepada pendidikan STEM secara praktikal antara pelajar kawasan bandar dan luar bandar.

DR Shaik Hussein (dua dari kiri) menyerahkan sijil dan cenderahati kepada guru penyelaras pada Majlis Aspresiasi dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024.
DR Shaik Hussein (dua dari kiri) menyerahkan sijil dan cenderahati kepada guru penyelaras pada Majlis Aspresiasi dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024.

"PERDA sudah melaksanakan tajaan program pendidikan bermula 2006 menerusi Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) bersama agensi penaja seperti Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

"Bagi program peningkatan STEM, ini adalah tahun ketiga ia diadakan.

"Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kami cari dan fokus kepada yang lain pula selepas kami lihat jurang kelemahan pelajar B40 luar bandar dalam pendidikan STEM," katanya kepada media.

Mohd Asri berkata, tahun lalu, sebanyak RM1.12 juta diperuntukkan kepada PERDA oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksana program peningkatan dan galakan STEM membabitkan 71 sekolah rendah dan menengah tajaan lembaga kemajuan itu.

Katanya, sekolah berkenaan juga terbabit dalam 40 siri program yang dilaksana pada tahun lalu membabitkan 2,761 murid sekolah rendah dan 2,901 pelajar sekolah menengah.

"PERDA juga meneruskan penganjuran PERDA Robotic Challenge pada 30 September tahun lalu sempena Ekspo PERDA (EXPERT) di Kubang Menerong dengan mempertandingkan kemahiran robotik antara 71 sekolah tajaan.

"Pertandingan itu menjadi medan penggilap potensi dan inovasi terhadap kepintaran teknologi dalam kalangan pelajar daripada sekolah luar bandar dan secara tidak langsung ia menyumbang kepada penyertaan dalam Pertandingam National Robotic Challenge (NRC) Peringkat Negeri Pulau Pinang," katanya lagi.

Menurut Mohd Asri, berdasarkan pencapaian kejohanan NRC yang dikeluarkan oleh Sasbadi Learning, sekolah di bawah tajaan PERDA menunjukkan prestasi membanggakan dalam kategori Robomission Rookie Sekolah Rendah bagi usia 10 hingga 12 tahun dan Robomission Rookie Sekolah Menengah (13 hingga 15 tahun).

DR Shaik Hussein (tiga dari kanan) diiringi Mohd Asri (dua dari kanan) melakukan simbolik peluncuran pada Majlis Aspresiasi 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024 di Hotel Royale Chulan.
DR Shaik Hussein (tiga dari kanan) diiringi Mohd Asri (dua dari kanan) melakukan simbolik peluncuran pada Majlis Aspresiasi 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024 di Hotel Royale Chulan.

"SK Machang Bubok menjuarai kategori sekolah rendah manakala SMK Permatang Pasir dan SMK Simpang Empat masing-masing memperoleh tempat pertama dan kedua bagi kategori sekolah menengah.

"Lebih manis apabila tiga sekolah berkenaan menunjukkan prestasi membanggakan di NRC Peringkat Kebangsaan apabila SK Machang Bubok dan SMK Simpang Empat masing-masing meraih tempat kelapan manakala SMK Permatang Pasir di tempat ke-22," katanya.

Terdahulu Mohd Asri ditemui di Majlis Apresiasi Tahun 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024 di Hotel Royale Chulan, di sini, dan hadir sama ialah Pengerusi PERDA

Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin.

Majlis berkenaan bertujuan bagi meraikan guru penyelaras dan pentadbir sekolah yang memberi komitmen serta sumbangan pada tahun lalu menerusi inisiatif Program Luar Bandar Cerdik STEM.

Selain itu, peluncuran Program Mighty STEM adalah program peningkatan akademik bagi subjek STEM kepada pelajar tahun enam sekolah kawasan operasi PERDA.

Sementara itu, Dr Shaik Hussein berkata, diharap pelajar daripada keluarga B40 mendapat pendedahan sewajarnya mengenai kepentingan pendidikan STEM serta bersedia dengan industri yang bakal wujud pada masa akan datang.

"Seperti di Pulau Pinang misalnya, industri silikon dijangka wujud antara lima hingga 10 tahun akan datang.

"Menerusi pendedahan ini, PERDA sediakan secara percuma atas bajet yang diberi KKDW kepada pelajar daripada latar belakang B40 yang mungkin tidak berpeluang mengikuti tuisyen," katanya.

Bagi Guru Penyelaras dari SK Seri Tasik, Hazim Syahmi Sajali berkata, sepanjang tahun lalu, lebih 10 pertandingan robotik anjuran pelbagai pihak termasuk PERDA disertai murid sekolah berkenaan sehingga peringkat antarabangsa.

"Antara tugas yang diberi ialah membina set robotik berasaskan Lego dan menguji kemahiran murid dalam pengekodan pergerakan robot.

"Diharap supaya murid memanfaatkan peluang ini bagi mempelajari STEM dan dalam pada masa sama, program berkenaan dapat diperluaskan lagi kepada murid lain termasuk daripada latar belakang M40," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 7:01 AM