MARIA Chin, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
MARIA Chin, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Pasukan pendakwaan bagi kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa memberi penjelasan lebih lengkap, jujur dan terbuka berhubung alasan memberhentikan prosiding ke atas Timbalan Perdana Menteri itu.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, berkata penjelasan wajar diberikan dengan mengambil kira tahap keseriusan 47 pertuduhan penyalahgunaan kuasa ke atas Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa itu.

Maria antara lain menyifatkan permohonan pasukan pendakwaan memberhentikan prosiding itu sebagai kemunduran bagi gerakan rakyat, selain ia seolah-olah membenarkan rasuah dan menolak agenda reformasi.

"Rakyat turun ke jalanan untuk membantah pemimpin yang terpalit dengan rasuah seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid, selain berharap keadilan dapat ditegakkan.

"Keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid pastinya kemunduran bagi gerakan rakyat, seolah-oleh mengatakan 'Rasuah OK!'. Ia sememangnya menolak agenda reformasi diperjuangkan rakyat selama lebih 10 tahun.

"Bagi menyatakan kes Ahmad Zahid boleh dibicarakan semula pada masa hadapan, seolah-olah mempersendakan sistem keadilan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan Presiden UMNO itu.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Pada 24 Ogos lalu, peguam bela Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, menerusi kenyataan media, memohon keputusan representasi dihantar pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023 disegerakan, sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi dalam perbicaraan kes itu.

Permohonan representasi setebal 200 muka surat itu turut dikepilkan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki, bertarikh 20 Februari lalu, menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan pembelaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Maria menegaskan, pihaknya tidak pernah menjangkakan permohonan memberhentikan kes terbabit akan dikemukakan Mohd Dusuki, memandangkan keseriusan kes dihadapi Ahmad Zahid.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu antara lain berkata, orang ramai sebaliknya berharap perbicaraan ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dibuat secara adil, lebih sengit dan mendalam, selepas empat tahun prosiding kes berlangsung di mahkamah.

"Hari ini sememangnya hari sedih bagi demokrasi. Collin melepaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan tanpa dibebaskan. Ini (pendakwaan ke atas Ahmad Zahid) sememangnya tuduhan amat berat.

"Ini kerana, Yayasan Akalbudi dikatakan diasaskan dengan objektif untuk menerima dan menyediakan dana bagi membasmi kemiskinan serta meningkatkan kebajikan golongan miskin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:15 PM