GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Polis menahan lelaki yang mencederakan ibunya menggunakan senjata tajam ketika mangsa menunaikan solat di rumah mereka di Kampung Bongor di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 29 tahun berkenaan turut mencederakan adik lelakinya berusia 15 tahun yang cuba membantu ibu mereka daripada amukan suspek yang ketika itu bersenjatakan sepana pembuka plug dan sebilah pisau pemotong getah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek dikatakan memukul ibunya yang berusia 54 tahun secara bertubi-tubi pada bahagian muka dan sebelah kiri atas badan mangsa, dengan menggunakan senjata berkenaan.

"Hasil siasatan, suspek memukul ibunya yang ketika itu sedang mendirikan solat, menyebabkan wanita itu menjerit meminta tolong. Adik suspek yang berada di dalam bilik air terdengar dan keluar melihat suspek yang sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi.

"Adik suspek itu juga dipukul apabila cuba menolong ibu mereka. Suspek kemudian memukul mangsa dengan menggunakan sepana dan sebilah pisau pemotong getah," katanya dihubungi.

Mohd Yusri berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kedua-dua mangsa di Balai Polis Bersia di sini, 7.50 pagi semalam, dan mereka datang dalam keadaan berdarah akibat luka dialami.

Menurut Mohd Yusri, rumah setingkat tempat kejadian itu berlaku didiami suspek bersama kedua-dua mangsa.

Katanya, lawatan tempat kejadian mendapati terdapat tompokan darah di sekitar atas lantai rumah berkenaan.

Katanya, dua mangsa berkenaan mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di Bahagian Kecemasan Hospital Gerik sebelum dimasukkan ke wad, dengan pemeriksaan oleh doktor mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan mangsa.

Beliau berkata, kejadian berpunca suspek dikatakan berhalusinasi, selain suspek juga sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Taiping tetapi dibebaskan semula kerana tidak mempunyai sebarang masalah mental ketika itu.

"Suspek yang tidak bekerja (penganggur) juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2011 dan pernah ditangkap," katanya.

Katanya lagi, suspek sudah ditangkap berserta rampasan barang kes, dan suspek dirujuk ke Mahkamah Taiping pada hari ini bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:32 AM