SEBAHAGIAN daripada 15 wanita warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang dalam serbuan di pusat hiburan di Lebuh Farquhar di Georgetown, awal pagi tadi. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SEBAHAGIAN daripada 15 wanita warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang dalam serbuan di pusat hiburan di Lebuh Farquhar di Georgetown, awal pagi tadi. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Taktik 15 wanita warga asing menjadi peneman lelaki terbongkar apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam serbuan di pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini, awal pagi tadi.

Kebanyakan mereka yang ditahan itu didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan pas lawatan kerja sementara.

Operasi bermula 11.15 malam diketuai Ketua Operasi JIM Pulau Pinang, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK) Izham Idris.

Difahamkan, kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja pembersihan pejabat, pembantu restoran dan pekerja spa.

Malah, ada warga asing cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan memberi alasan datang ke pusat hiburan itu atas jemputan rakan memandangkan cuti umum pada hari ini, selain mahu meraikan hari lahir kenalan kepada rakan.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam.

"Mereka berusia antara 25 hingga 30 itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1963.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk menetap lebih masa, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas.

"Kesemua wanita warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen di Juru bagi membantu siasatan lanjut," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:05 AM