Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Axia dalam kemalangan jalan raya di Kota Samarahan tengah malam tadi. IHSAN JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Axia dalam kemalangan jalan raya di Kota Samarahan tengah malam tadi. IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Kota Samarahan, tengah malam tadi.

Mangsa, Mary Peter, 53, yang tersepit di tempat duduk pemandu kereta Perodua Axia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pemandu Toyota Hilux, Joe Reki, 45, pula selamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.20 tengah malam dan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diarah ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi didapati seorang wanita tersepit di tempat duduk pemandu kereta.

"Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa pada 12.50 tengah malam dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkannya sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:10 AM