GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pendirian Pemuda Umno untuk tidak menjemput parti gabungan Kerajaan Perpaduan menghadiri persidangan sayap Malaysia minggu depan mendapat reaksi positif di peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda Umno Kapar, Affifi Aris berkata, akar umbi perlu diperjelaskan mengenai isu mengenai hubungan sedia ada serta hala tuju masa depan parti.

Katanya, ahli Umno menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah supaya membentuk Kerajaan Perpaduan di negara ini.

"Namun apa yang pasti, ahli mesti dijelaskan dengan baik sebab utama kita membentuk kerajaan bersama dengan Pakatan Harapan dan parti-parti lain.

"Tetapi, membentuk sebuah kerajaan pada hari ini tidak bermakna ahli parti setuju dengan jajaran politik baru sehingga bekerjasama dalam pilihan raya.

"Justeru, mesti dijelaskan dengan naratif baru ini kenapa bersama Kerajaan Perpaduan ini membawa kepada jajaran politik baru dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh bahawa pihaknya tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi sayap yang akan berlangsung minggu depan.

Dalam temubual bersama Harian Metro, beliau menjelaskan pihaknya mahu 'memperbetulkan' dulu apa yang berlaku di 'rumahnya' sebelum menjemput mana-mana parti.

Affifi berkata, ketika kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, parti memilih untuk bergerak secara solo dan tidak timbul isu gabungan bersama parti yang membentuk kerajaan persekutuan pada ketika itu.

"Kita mahukan kesepakatan dalam kepimpinan pemuda dan bukannya 'angguk-angguk, geleng-geleng'," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kulim Bandar Baharu Khairul Azam Alias berkata, sayap parti perlu diberi ruang untuk mengendalikan persidangan sendiri kerana perwakilan boleh meluahkan apa yang terbuku di hati mereka.

Katanya, tiada jemputan ke persidangan sayap itu tidak bermaksud berlaku mereka bertelagah, sebaliknya ia adalah perbincangan mengenai 'isu keluarga sendiri'.

"Jemputan dari parti lain boleh datang masa persidangan Umno Malaysia. Kita tak halang, cuma bagi Pemuda, kami ingin bersuara dengan sebaik-baiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 3:06 PM