FAHMI berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertahanan Siber Digital dan Expo Keselamatan Asia (CyberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. FOTO Bernama.
FAHMI berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertahanan Siber Digital dan Expo Keselamatan Asia (CyberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan akan membuat penelitian dari masa ke masa berkaitan bantuan atau projek yang akan dijalankan di negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mereka sememangnya mahukan hubungan yang baik antara kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara itu pernah dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), usaha kami termasuk di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mewujudkan satu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) kita akan teruskan dan ia tidak menjadi masalah.

"Saya percaya, kalau kita lihat apa yang pernah disebut Perdana Menteri, memang kita akan teliti kerana kita juga mahukan hubungan yang baik, rapatkan silaturahim dan kukuhkan ukhuwah antara kerajaan negeri dan pusat.

"Jadi kita akan teliti mengenai perkara ini dari masa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan mahu membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Kedah dan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Muhammad Sanusi berharap pimpinan Kerajaan Perpaduan juga tidak akan menyimpan apa-apa perasaan di dalam hati terutamanya berkaitan hal politik sebelum ini.

Sementara itu, Fahmi juga turut mengulas mengenai kedudukan kerusi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen sama ada akan bertukar dari kerajaan ke pembangkang.

"Beliau (Syed Saddiq) sebut sebelum ini. Saya lihat belum ada perubahan kepada kenyataan beliau.

"Jadi kita berpegang kepada apa yang pernah disebutkan sebelum ini," katanya.

Syed Saddiq pernah dilaporkan berkata, walaupun bersuara menentang pentadbiran Anwar dalam beberapa isu, beliau masih menyokong Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 12:50 PM