ANWAR menyampaikan Amanat Perdana pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
ANWAR menyampaikan Amanat Perdana pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan mengundang Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh dua minggu lagi bagi mencari jalan penyelesaian menyelesaikan masalah air yang melanda di dua negeri itu.

Perdana Menteri berkata, walaupun memerlukan dana yang besar, pinjaman, sukuk atau bon, ia masalah yang perlu diambil perhatian oleh pihaknya dan isu masalah air ini seharusnya tidak dibebankan kepada rakyat.

"Tidak ada alasan untuk kerajaan pada 2023 tak dapat memulakan program besar-besaran selesaikan masalah air di negeri.

"Ya, ia perlukan dana yang besar, perlu pinjaman, perlu sukuk, perlu bon, itu masalah kita. Jangan bebankan kepada rakyat," katanya semasa berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini , hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, isu penyelesaian masalah air ini juga tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Itu masalah kedua. Yang penting rakyat selepas 60 tahun merdeka tidak boleh dibebankan dan dihina sampai tidak ada air bersih untuk minum," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga menyindir sifat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang seolah-olah tidak mahu berunding mengenai masalah ketiadaan air di negeri itu.

"Kedah tak ada air juga. Tapi kalau bersyarah berdegar-degar semua selesai. Ini masalahnya. Dia lain.

"Menteri Besar Kelantan ini sekurang-kurangnya sedia runding dengan baik. Orang runding dengan baik, kita dua kali lebih baik. Orang yang angkuh dan sombong tinggallah kamu dengan keangkuhan dan kesombongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 8:15 PM