MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat kertas arahan yang menghalang beliau daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, kertas arahan Kabinet itu ditunjukkan sendiri oleh pegawai sebuah kementerian kepada pegawai pejabatnya kelmarin.

"Pegawai kementerian itu ada mesyuarat di Langkawi kelmarin. Dia tunjuk kertas arahan Kabinet kepada pegawai pejabat Menteri Besar yang hadir dalam mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi status dimuat naik di Facebook (FB) rasminya semalam, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dihalang daripada menghadiri sebarang majlis kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang bakal berlangsung Mei depan.

Muhammad Sanusi mendakwa itu adalah keputusan terbaru yang diambil Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mendakwa terdapat jabatan tertentu yang tidak dibenarkan bekerjasama dalam program kerajaan negeri.

"Tanyalah kepada pegawai-pegawai daerah, semua tahu arahan kepada jabatan tertentu untuk tidak boleh memberi kerjasama atau terbabit dalam program negeri," katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di FB hari ini, beliau mendakwa, kelulusan menggunakan Dewan A MAEPS Serdang, Selangor di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di perantauan pada 9 April ini juga ditarik balik.

"Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun, dewan tu kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, awat la jadi sampai lagu tu. Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara ini.

"Tak apa, tak gaduh kalut kelam kelibut, program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, Kuala Lumpur juga la.. Hangpa mai bagi ramai noh..

"If you panaih please don't koyak..., " katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Wan Romani Wan Salin berkata, pimpinan kerajaan persekutuan termasuk dalam kalangan menteri dilihat tidak profesional setiap kali hadir membuat lawatan kerja rasmi ke Kedah.

"Setiap kali Perdana Menteri mahu pun anggota Kabinet turun ke Kedah, tiada jemputan kepada Menteri Besar mahu pun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk turut sama hadir dalam majlis berkenaan.

"Sebagai contoh, lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam dan hari ini membabitkan beberapa program terkait dengan portfolio saya sebagai Exco di Kedah, tetapi saya tak dijemput hadir sedangkan kita ada ruang menjalin kerjasama.

"Dalam Facebook Fahmi, memanglah diletakkan gambar kononnya dia menjemput orang itu dan ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suka Menanti yang sama parti dengannya. Tetapi mengapa saya sebagai Exco berkaitan serta Adun Kuala Nerang dan Pedu tidak dipanggil atau dimaklumkan langsung?" katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah menafikan hak kerajaan negeri.

"Perkara sebegini tak pernah berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri lain sebelum ini. Kami di Kedah ini berkhidmat untuk menyelesaikan isu semua rakyat Kedah termasuk penyokong-penyokong parti mereka.

"Jadi tak bolehlah mereka bertindak demikian. Apa yang dilakukan terhadap Menteri Besar serta kepimpinan kerajaan negeri kini adalah tidak profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:14 PM