Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika hadir memberi keterangan dalam prosiding bicara membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika hadir memberi keterangan dalam prosiding bicara membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad 1MDB pada 2015 didakwa bertujuan mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika menyoal balas bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam perbicaraan rasuah anak guamnya kerana menyeleweng dana 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zeti yang menerajui bank pusat itu selama 16 tahun antara 2000 dan 2016 menafikan dakwaan itu.

Menurutnya, pasukan petugas itu pada mulanya tidak menyedari kes itu dikaitkan dengan dana dalam akaun Najib.

Pasukan petugas itu terdiri daripada bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, polis dan BNM.

Shafee: Saya mengatakan pasukan petugas itu untuk mencari jalan untuk menjatuhkan perdana menteri (Najib)?

Zeti: Tidak betul, kerana ketika pasukan petugas pertama kali bertemu pada 9 Jun 2015, kami tidak ada pengetahuan mana-mana pihak bahawa terdapat kaitan dengan 1MDB melalui akaun perdana menteri. Itu tidak betul.

Shafee: Adakah anda sedar terdapat draf pertuduhan terhadap Najib apabila pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM diserbu?

Zeti menjawab "dia tidak tahu."

Terdahulu, Zeti memberitahu mahkamah bahawa bank pusat hanya mengetahui dana 1MDB diseleweng selepas serbuan bersama oleh BNM dan SPRM ke atas AmBank pada 2015 bahawa jumlah sebenar wang yang masuk ke dalam akaun Najib ialah RM3.2 bilion.

Shafee: Saya nyatakan kepada anda, anda tahu kesalahan terletak pada lembaga 1MDB, pengurusan 1MDB, BNM dan AmBank, dan siapa yang berada di kandang tertuduh? Bekas Perdana Menteri yang tidak melakukan apa-apa dalam transaksi ini. Saya nyatakan kepada anda, adakah apa-apa yang boleh menunjukkan bahawa Najib terbabit dalam penipuan ini?

Zeti: RM3.2 bilion masuk ke akaunnya dan dia membelanjakan sekurang-kurangnya RM1 bilion, dan ini sebahagiannya adalah wang 1MDB, itulah sebabnya.

Muhammad Shafee turut menyoal balas mengenai pasukan petugas itu yang ditubuhkan pada 6 Mac 2015.

Shafee: Apakah (pasukan petugas) itu?

Zeti: Misi utama pasukan petugas adalah untuk menyiasat 1MDB dan kami (BNM) hanya mempunyai membantu.

Shafee: Sebab sebenar (pasukan petugas) adalah untuk mencari jalan untuk mendakwa perdana menteri yang sedang berkhidmat dan menyebabkan perubahan dalam kerajaan.

Zeti: Itu tidak betul. Dalam pertemuan pertama, kami tidak tahu bahawa terdapat kaitan 1MDB dan wang dalam akaun Najib.

Shafee: Itu tidak benar. SPRM siasat Najib secara rahsia.

Zeti: Kami tidak tahu. Ia tidak disebut. Kebimbangan utama kami adalah untuk menyiasat implikasi skandal itu terhadap negara.

Saksi pendakwaan ke-46 itu turut menafikan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditubuhkan pada 12 Mei 2018 yang turut dianggotainya ditubuhkan untuk tujuan meneliti mengenai isu 1MDB.

Mereka adalah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Zeti; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

"Saya menghadiri mesyuarat 100 hari (CEP) dan 1MDB tidak dibincangkan. Mengapa mereka memanggil Robert Kuok dan Hassan Marican untuk membincangkan 1MDB. Kami berada dalam mesyuarat untuk memberi nasihat mengenai ekonomi Malaysia," katanya.

Selain itu, Zeti memberitahu, matlamat akhir siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap 1MDB adalah untuk mengetahui sama ada syarikat itu melakukan sebarang salah laku dan untuk mendapatkan semula wang 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 7:08 PM