DATUK Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan ke-44 memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini terdapat transaksi dalam jumlah yang besar diterima Bank BSI Singapura daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana bank itu, Kevin Michael Swampillai berkata, bayaran daripada urus niaga berkaitan 1MDB adalah paling lumayan pernah diterima bank berkenaan.

Swampillai, 58, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee kemudian beralih kepada isu pelaburan dikaitkan dengan Brazen Sky.

Brazen Sky selaku syarikat perantara tujuan khas (SPV) ditubuhkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya untuk membawa pulang wang pelaburan oleh 1MDB.

Swampillai mengakui tidak menyedari bahawa Lembaga Ahli Pengarah 1MDB bimbang mengenai isu berkenaan.

Namun, katanya, ada kebimbangan daripada orang ramai mengenai laporan berita membabitkan isu sama.

Shafee: Tetapi apabila difikirkan semula, kamu dan saya sedar bahawa pelaburan Brazen Sky adalah palsu.

Swampillai: Saya sedar mengenai kebimbangan itu tetapi tidak sedar bahawa (Ahli) Lembaga (Pengarah) 1MDB itu membangkitkan kebimbangan sama.

Dalam perbicaraan hari ini, turut hadir sebagai saksi pendakwaan ke-46, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun, Zeti tidak memberi keterangan kerana soal balas Muhammad Shafee terhadap Swampillai masih belum selesai.

Pada prosiding 23 November tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa, pernyataan saksi sudah tersedia dan Zeti akan membacanya dalam prosiding seterusnya.

Isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan satu soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan Jho Low di kediaman Zeti.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 6:44 PM