GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Sikap 'abang besar' sudah lama berlalu dan mentaliti ini perlu dikikis jika mahu gabungan Pakatan Harapan (PH-BN) terus maju, kata Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pengerusi PH Terengganu itu berkata, banyak pihak bertanya kenapa keputusan sangat mengecewakan bagi gabungan PH-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu sehingga tidak memenangi satu kerusi pun.

Beliau berkata, walaupun diakui Terengganu negeri Pas paling kuat, tetapi tidak mustahil boleh memenangi beberapa kerusi jika strateginya betul dengan perancangan baik.

"Untuk mencapai strategi yang baik perlu diketepikan sikap dominasi abang besar dan bersikap terbuka menerima kelebihan tertentu rakan yang dianggap agak baru atau tidak begitu besar.

"Sebagai contoh, sebuah hospital besar walaupun ramai doktornya tidak semestinya mempunyai pakar terbaik untuk mengubati penyakit.

"Di sinilah perlunya mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamal sikap abang besar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kelebihan PH adalah di kawasan pengundi urban (bandar) yang juga memiliki pengundi campuran.

Katanya, prinsip konsep itu dipersetujui di peringkat awal tetapi malangnya tidak di laksanakan dan kerusi campuran seperti Dun Bandar dan Chukai yang mempunyai pengundi bandar dan campuran tidak diberi kepada Amanah atau PKR.

"Ini adalah kesilapan yang besar dan kita hilang peluang memenangi kerusi seperti ini yang mana PH mempunyai kelebihan.

"Contoh yang paling relevan adalah kerusi urban dan campuran Dun Kota Lama di Kelantan yang mana calon Amanah berjaya memenangi kerusi di negeri Pas dominan lebih 30 tahun walaupun Dr Hafidzah Mustakim bukan orang Kelantan.

"Dengan strategi yang baik, PH boleh menang kerusi di Kota Bharu dan kalau yang sama dilakukan di Kuala Terengganu, tidak mustahil kejayaan yang sama boleh dicapai," katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau juga tidak terkejut dengan keputusan PRN di Terengganu, tetapi amat kecewa.

"Sikap lebih inklusif menghormati sesama kita dan bukan sikap abang besar perlu diwujudkan dalam gabungan BN-PH di Negeri Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 2:06 PM