DERETAN bendera PH dan PN dipasang sempena kempen PRN Pulau Pinang ketika tinjauan di Bertam, 3 Ogos lalu. FOTO Bernama
DERETAN bendera PH dan PN dipasang sempena kempen PRN Pulau Pinang ketika tinjauan di Bertam, 3 Ogos lalu. FOTO Bernama
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Meskipun Perikatan Nasional (PN) menyapu 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pilihan Raya Negeri (PRN), namun undi popular gabungan parti itu berada hampir sama dengan blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata, secara umumnya, analisis menunjukkan PN memperoleh 49.3 peratus undi popular pada PRN ini, manakala gabungan PH-BN pula, meraih 49.5 undi popular.

"Kita lihat PN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, selain menyapu bersih di Terengganu, dan memperoleh banyak kerusi di sebahagian Selangor utara dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

"Namun dari segi undi popularnya, ia hampir sama dengan PH-BN yang menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Melalui keputusan PRN semalam, PN berjaya meraih 146 kawasan DUN daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, PH (80 kerusi) dan BN (19 kerusi).

Di Selangor, PH-BN menenangi 34 kerusi, manakala PN (22 kerusi); Pulau Pinang, PH-BN meraih 29 kerusi, sementara PN (11 kerusi).

Di Negeri Sembilan pula, 31 kawasan DUN menjadi milik PH-BN manakala bakinya, lima kerusi diperoleh PN.

PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu, manakala di Kelantan, PH-BN hanya mampu berpuas hati dengan memiliki dua kerusi, manakala baki 43 lagi berpihak kepada PN.

Sementara di Kedah, PN menang selesa di 33 kerusi, dan PH-BN pula hanya memperoleh tiga kerusi DUN di negeri itu.

Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, di negeri Pantai Timur, PN berjaya meraih undi popular paling tinggi di Kelantan iaitu 69.23 peratus, manakala PH-BN pula 30.54 peratus.

Beliau berkata, di Terengganu, PN mendominasi undi popular dengan 68.44 peratus, manakala PH-BN pula, 31.48 peratus.

Katanya, faktor utama pecahan undi popular ialah kerana kepadatan pengundi, yang mana kawasan seperti di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pengundi yang lebih padat di satu-satu kawasan DUN.

"Kepadatan pengundi itu berbeza jika dibandingkan dengan PN yang menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu... atas dasar itu, banyak kerusi baharu dimiliki PN, namun undi popular masih lebih kurang sama atau sedikit di bawah PH-BN," katanya.

Beliau berkata, PN mengungguli majoriti undi popular bagi segmen pengundi Melayu dan Muslim, manakala PH-BN pula meraihnya daripada pengundi segmen etnik bercampur, selain undi Melayu di kawasan bandar khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Keputusan penuh dan peratusan keluar mengundi ikut negeri

Keputusan Rasmi PRN Kedah

Keputusan Rasmi PRN Pulau Pinang

Keputusan Rasmi PRN Selangor

Keputusan Rasmi PRN Negeri Sembilan

Keputusan Rasmi PRN Kelantan

Keputusan Rasmi PRN Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 4:04 PM