Ahmad Sarkawi selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang. FOTO IHSAN AHMAD SARKAWI
Ahmad Sarkawi selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang. FOTO IHSAN AHMAD SARKAWI
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Berang: "Hari ini kali kedua saya mengundi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November tahun lalu selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun," kata Ahmad Sarkawi Sulong.

Ahmad Sarkawi atau lebih mesra dipanggil Awie, 53, dari Kampung Bukit Tok Bat di sini, menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.

Bagaimanapun, Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibebaskan pada 17 Ogos 2020.

Hari ini, Awie mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di sini, pada 9.30 pagi untuk memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang.

Menurutnya, dia bercadang untuk keluar mengundi lebih awal tetapi isterinya, Siti Hawa Harun, 36, bekerja sekali gus dia perlu menjaga anaknya, Mohamad Ikhwan yang berusia 155 hari terlebih dahulu.

"Menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi apabila tiba pilihan raya.

"Soal siapa calon yang dipilih itu nombor dua tetapi sebagai rakyat, semua orang perlu menjalankan tanggungjawab untuk mengundi," katanya.

Menurutnya, dia sudah banyak kali terlepas untuk mengundi sejak menjalani hukuman di Penjara Kajang dan Penjara Marang sepanjang 20 tahun.

"Sekarang apabila berpeluang semula untuk mengundi, saya tidak melepaskan peluang untuk menentukan pembentukan kerajaan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:20 PM