AHMAD Sarkawi bergambar bersama isterinya, Siti Hawa selepas majlis akad nikah di Pejabat Agama Hulu Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AHMAD Sarkawi bergambar bersama isterinya, Siti Hawa selepas majlis akad nikah di Pejabat Agama Hulu Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: "Selepas tiga kali tertangguh, penantian kami berakhir apabila sah bergelar suami isteri dan hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya sekarang, sangat gembira," kata Ahmad Sarkawi Sulong.

Ahmad Sarkawi atau lebih mesra dengan panggilan Awie, 50, dari Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang sah menjadi suami kepada Siti Hawa Harun, 34, dari Kampung Sekayu dengan dua kali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan oleh Jurunikah, Ustaz Ramli @Mustafa Ahmad kira-kira 11 pagi di Pejabat Agama Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan anak kelahiran Kuala Berang itu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.

Bagaimanapun, Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibenarkan bebas pada 17 Ogos tahun lalu.

Katanya, dia dan isterinya sudah tiga kali terpaksa menangguhkan perkahwinan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa.

"Alhamdulillah, akhirnya hasrat kami untuk disatukan tertunai hari ini, sudah lama kami menghitung hari untuk disatukan.

"Sepatutnya perancangan asal berkahwin pada 5 Jun lalu tetapi terpaksa ditangguh dan akhirnya hari ini kami berkahwin.

"Saya tidak pernah menjangka akan menemui jodoh secepat ini selepas dibebaskan. Perancangan Allah mengatasi segala-galanya," katanya.

Katanya, dia juga berasa terharu apabila isterinya boleh menerima dia seadanya dan yakin untuk berkahwin dengannya.

"Maklumlah saya mempunyai rekod lampau dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, tetapi isteri tetap menerima saya sebagai suaminya.

"Sebagai suami, saya akan cuba membahagiakan dia dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Hawa berkata, dia menerima Awie sebagai suami kerana tertarik dengan sikap lemah lembut dan bertolak ansur yang dimiliki suaminya itu.

"Saya sangat bahagia apabila bersamanya, kami saling melengkapi di antara satu sama lain.

"Paling penting Awie bersedia memenuhi syarat yang saya tetapkan iaitu tinggal bersama saya dan ayah (Harun Ismail, 80) yang uzur selepas berkahwin," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengenali dan mengetahui sejarah silam suaminya itu sebelum ini walaupun kisah mengenai suaminya kerap dilaporkan di akhbar.

"Kami diperkenalkan oleh keluarga awal tahun lalu dan bertunang pada Mac dan sepanjang perkenalan saya berasa selesa bersamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 1:19 PM