AHMAD Sarkawi bersama isteri, Siti Hawa dan anak mereka, Mohamad Ikhwan. FOTO ihsan Ahmad Sarkawi
AHMAD Sarkawi bersama isteri, Siti Hawa dan anak mereka, Mohamad Ikhwan. FOTO ihsan Ahmad Sarkawi
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Berang: Tanggal 19 Mac lalu menjadi detik paling bahagia buat Ahmad Sarkawi Sulong atau lebih mesra dengan panggilan Awie apabila menerima kehadiran cahaya mata pertamanya.

Awie, 53, dari Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang sebelum ini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan al-Ma'unah pada 2000.

Bagaimanapun, Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibenarkan bebas pada 17 Ogos 2020 sebelum mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Siti Hawa Harun, 36, dari Kampung Sekayu pada 20 Jun 2021.

Katanya, rutin hariannya berubah sejak menerima kehadiran anak pertama yang diberi nama Mohamad Ikhwan dan ia sungguh memberi makna kepadanya.

"Bayangkan pada usia sekarang saya masih berpeluang menimang cahaya mata lelaki dan ia di luar jangkaan.

"Allah atur kehidupan saya dengan aturan yang terbaik, semuanya berjalan lancar bermula daripada berkahwin pada usia 50 tahun dan kini mendapat anak pada usia 53 tahun.

"Saya cuma berharap dapat membesarkan dan mendidik anak menjadi anak yang soleh serta berbakti kepada kedua ibu bapanya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dia berkerja sebagai jurujual di sebuah kedai peralatan perkakas rumah di Bandar Kuala Berang.

"Saya tidak memilih kerja, asalkan ia pekerjaan yang halal dan sesuai dengan kemampuan saya.

"Segala keperluan keluarga mencukupi bagaimanapun saya merancang untuk berniaga roti canai di hadapan rumah bagi menambah pendapatan keluarga sesuai dengan kehadiran anak pertama itu," katanya.

Dia berkata, kehidupannya sekarang sangat bahagia kerana ditemani isteri dan anak tetapi agak mencabar kerana ia datang dengan tanggungjawab.

"Sebelum ini hanya memikirkan hal sendiri saja tetapi selepas mempunyai isteri dan anak, keperluan mereka perlu diutamakan melebihi keperluan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 11:31 AM