Siti Rohana Idris


Tumpat: Penugasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang yang membabitkan empat kampung di delta Sungai Kelantan agak mencabar bagi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Faktor geografinya yang dikelilingi sungai, sudah pasti turut mempunyai laluan tikus sama ada menghubungkan antara kampung ke kampung lain atau ke tanah besar iaitu di Tumpat menerusi jeti Kok Majid manakala Kota Bharu menggunakan laluan Kuala Besar.

Bagi PPM, tugasan di air sudah menjadi 'makanan' mereka yang sebelum ini memang mengawal perairan sempadan negara sepanjang Sungai Golok sehingga ke Tok Bali, Pasir Puteh.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, setiap hari seorang pegawai dan empat anggota PPM keluar meronda sekitar tiga kilometer (km) kawasan PKPD iaitu Kampung Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri.

"Kami menggunakan bot ronda jenis PAC 740 untuk menjalankan rondaan dan kawalan juga membabitkan empat jeti utama di kampung berkaitan selain pemerhatian dibuat di beberapa lorong tikus.

MOHD Rudzuan (tengah) memantau di laluan utama di jeti Pulau beluru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Rudzuan (tengah) memantau di laluan utama di jeti Pulau beluru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Kekerapan penugasan dilakukan secara bersilang dengan anggota dari Balai Polis Palekbang menggunakan bot ronda milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

"PKPD Mukim Sungai Pinang dianggap unik kerana membabitkan kawasan pulau dan penugasannya juga lebih menitikberatkan kawasan air kerana pengangkutan utama penduduk adalah menggunakan bot penambang atau sampan," katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pulau Beluru di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan di Kampung Pantai Haji Nik Mat, Teluk Renjuna dan Pulau Beluru di sini bagi melihat pematuhan penduduk terhadap pelaksanaan PKPD Mukim Sungai Pinang yang bermula 22 Mei hingga 4 Jun ini.

Daripada pemerhatian yang dibuat, setiap kawasan yang dilalui menggunakan tiga bot itu, suasana kelihatan lengang dengan tiada langsung pergerakan penduduk yang dikira masing-masing berada dalam rumah.

Tiada juga kelibat kanak-kanak yang biasanya mandi sungai malah bot atau sampan yang digunakan penduduk yang majoritinya adalah nelayan pula kelihatan tersadai di tebing sungai.

MOHD Rudzuan (kanan) bersama anggotanya memantau sekitar tiga kilometer (km) kawasan PKPD Mukim Sungai Pinang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Rudzuan (kanan) bersama anggotanya memantau sekitar tiga kilometer (km) kawasan PKPD Mukim Sungai Pinang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mohd Rudzuan berkata, meskipun setiap ceruk kawasan sekitar terdapat lorong tikus untuk keluar ke tanah besar, tetapi pihaknya tidak mengesan sebarang pergerakan.

Katanya, ini membuktikan lebih 1,500 penduduk di empat kampung itu mematuhi arahan.

Katanya, walaupun bertanggungjawab terhadap tugasan di PKPD, penugasan di sempadan perairan negara tidak dilupakan malah tetap dipergiatkan.

"Kami mempunyai kekuatan seramai 46 anggota dan tugas meronda dan mengawal sempadan negara tetap diteruskan menggunakan tiga lagi bot ronda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:53 PM