Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Ahmad Deraman yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ahmad, 56, atau lebih dikenali sebagai Mat Jelira kini memanfaatkan masa sebaik mungkin bertemu dan merayu pengundi memandangkan tempoh berkempen berbaki beberapa jam saja lagi.

"Sepanjang dua bulan saya bekerja keras untuk DUN Kok Lanas, kini tinggal beberapa jam saja lagi tempoh berkempen sebelum penentuan diketahui esok.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan sehingga saat ini saya masih berusaha berjumpa dengan pengundi dan merayu mereka supaya mengekalkan kerusi DUN Kok Lanas ini.

"Jika saya diberi kemenangan esok, saya akan berusaha sebaik mungkin dan meneruskan legasi Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan guru di Kedai Kak Som Nasi Dagang, di sini, hari ini.

Mat Jelira berdepan akauntan yang mewakili PN-Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sokongan yang diterima termasuk dari anak muda sangat memberangsangkan.

"Alhamdulillah berbanding pihak lawan yang berasal dari Kota Bharu dan dianggap calon luar, saya merasakan kelebihan memihak kepada saya yang sentiasa ada dan sudah sebati di Kok Lanas.

"Justeru, sekali lagi saya merayu kepada pengundi supaya mengekalkan kerusi DUN Kok Lanas yang menjadi milik BN sejak 1999 lagi," katanya.

Ahmad Deraman menyantuni penduduk Kampung Batu Tinggi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Deraman menyantuni penduduk Kampung Batu Tinggi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 11:06 AM