Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa mendakwa ramai pemimpin dan ahli UMNO akan meninggalkan parti itu.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, berkata pengumuman berkenaan akan dibuat pada 4 Ogos ini yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Kita akan buat pengumuman penting termasuk pengisytiharan ramai pemimpin dan ahli parti serta mantan Ketua Setiausaha dan bekas EXCO yang akan keluar daripada UMNO.

"Ini bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli dalam Parlimen Ketereh, malah beberapa kawasan yang lain," katanya ketika ditemui pada sidang media di Program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, berkata tindakan pemimpin dan ahli keluar dari UMNO berikutan rakyat sudah tidak yakin dengan perjuangan parti itu.

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:56 AM