Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan nama-nama ahli yang bakal dipecat atau digugurkan dalam tempoh dua hari lagi, susulan mereka menjadi calon bebas atau menyokong calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau akan membuat pengumuman berkenaan.

"Saya akan mengumumkan tidak lama lagi, mungkin dalam sehari atau dua hari ini. Namun sebelum itu, kita akan membuat pemeriksaan di seluruh negara untuk mendapatkan kepastian. Kalau tidak, nanti orang kata kita pilih kasih.

"Kita nak kepastian dan apabila sudah pasti ada ahli melanggar undang-undang Fasal 10.2.2 Perlembagaan Bersatu, mereka ini boleh dipecat atau digugurkan.

"Ramai (ahli) yang terbabit kerana mereka bukan saja menjadi calon tetapi ada yang menyokong calon-calon (lain) pada PRN," katanya pada sidang media di Program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (Dun) Kok Lanas di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan calon Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

HAMZAH ketika berucap dalam Program Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HAMZAH ketika berucap dalam Program Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ketika ditanya sama ada lapan ahli yang bakal dipecat atau digugurkan selepas disyaki menjadi calon atau menyokong calon parti lain termasuk kes di Langkawi, Kedah, Hamzah enggan mengulas lanjut berapa jumlah ahli yang bakal diambil tindakan itu.

Mengulas lanjut Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya akan mendapatkan kepastian dahulu sama ada satu, dua, tiga (ahli) atau sebaliknya.

"Kita akan memutuskan sama ada, ahli ini membantu atau menjadi calon bebas atau melakukan sesuatu yang boleh mencacatkan calon-calon PN untuk menang. Calon kita bukan saja Bersatu, tetapi termasuk juga dari Pas dan Gerakan yang mewakili PN.

"Mudah saja, masuk (PRN) ini kita nak menang, namun kita kena kerja kuat termasuk buat kajian (secara) mendalam apa yang kita perlu lakukan untuk mencapai kemenangan yang lebih besar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pas menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dun Kuah dan Dun Ayer Hangat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 7:49 AM